Search
Close this search box.

_

DISKAUN TAMBAHAN PERJALANAN TANPA HAD PAS MYCITY RAPID KL

Kuala Lumpur, 1 Julai – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), pengendali perkhidmatan rel urban dan Bas Rapid Transit (BRT) di Lembah Klang, mengumumkan diskaun tambahan yang amat menarik untuk Pas MyCity, pas perjalanan tanpa had 1 hari dan 3 hari untuk semua perkhidmatan rel dan BRT Rapid KL.

Dalam usaha merancakkan semula aktiviti ekonomi di sekitar Lembah Klang, Pas MyCity kini boleh didapati dengan harga RM5 untuk 1 hari dan RM15 untuk 3 hari. Diskaun tambahan ini tidak termasuk harga kad Touch ‘N Go bernilai RM5, serta RM 5 nilai dompet minimum yang perlu ada di dalam kad Touch ‘N Go. Pas MyCity ini boleh didapati di semua 122 stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT.

“Kami berharap agar inisiatif ini dapat menyemarakkan aktiviti-aktiviti ekonomi dan perniagaan, khususnya di Lembah Klang dan Selangor,” kata Muhammad Nizam Alias, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi), Prasarana Malaysia Berhad.

Pas MyCity ini juga diharap akan dapat membantu menjana semula sektor pelancongan domestik yang terkesan daripada wabak COVID-19 sejak Mac yang lalu. “Rangkaian rel dan BRT Rapid KL bersepadu kami yang strategik, akan memberi anda peluang menikmati perjalanan tanpa had secara meluas di sekitar Lembah Klang dan Selangor,” tambah Muhammad Nizam lagi.

Diskaun tambahan Pas MyCity ini boleh dinikmati bermula 1 Julai 2020 hingga 31 Disember 2020, dan boleh didapati di semua 122 stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT. Maklumat lanjut mengenai Pas MyCity boleh didapati daripada kakitangan Rapid KL di mana-mana stesen rel atau BRT. Selain itu, mereka juga boleh melayari media sosial Rapid KL atau laman web: www.myrapid.com.my

Language:

Search