Search
Close this search box.

_

DATIN NORLIA DILANTIK MEMANGKU JAWATAN PRESIDEN & CEO KUMPULAN PRASARANA

KUALA LUMPUR, 9 Mac – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) hari ini mengumumkan pelantikan Datin Hjh Norlia Hj Noah sebagai Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan; berkuatkuasa serta merta.


Norlia, yang juga Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi), mengisi kekosongan yang sebelum ini dijawat oleh Encik Muhammad Nizam Alias.

Mengumumkan perkara ini hari ini, Pengerusi Kumpulan Prasarana, Dato’ Sri Tajuddin Abdul Rahman menyatakan keyakinan penuh bahawa dengan pengalaman luas yang dimiliki oleh Norlia, Prasarana akan meneruskan agenda transformasi pengangkutan awam negara dengan cemerlang khususnya dalam mengharungi pelbagai cabaran ekoran penularan wabak COVID-19.

“Datin Norlia bukanlah seorang yang asing dengan Kumpulan Prasarana. Sejak mula berkhidmat di sini pada tahun 2004, beliau telah memegang pelbagai jawatan penting seperti Pengarah Projek LRT3; Ketua CAPEX Rel dan juga Ketua Pegawai Teknikal Kumpulan Prasarana sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (Operasi) tahun lepas,” kata Dato’ Sri Tajuddin dalam satu sidang media selepas lawatan kerja ke Depoh LRT Laluan Ampang dekat sini hari ini.

Memulakan karier sebagai Jurutera Ujian di sebuah syarikat pembuat bekalan kuasa Jepun di Johor Bahru, Norlia mempunyai 25 tahun pengalaman dalam industri rel; bermula pada tahun 1995 sebagai Ketua Perkhidmatan Elektronik untuk STAR LRT, yang kini dikenali sebagai LRT Laluan Ampang/Sri Petaling.

Sebelum menjadi sebahagian daripada warga kerja Prasarana pada 2004 apabila STAR LRT diambil alih sepenuhnya oleh syarikat milik penuh kerajaan ini, Norlia pernah memegang jawatan sebagai Ketua Kejuruteraan rangkaian LRT berkenaan dengan pengkhususan di bidang kejuruteraan dan penyelenggaraan.

Pada sidang media berkenaan, Dato’ Sri Tajuddin turut mengumumkan keputusan Lembaga Pengarah untuk melaksanakan penstrukturan dalam operasi Rapid Rail dan Rapid Bus di mana Lembaga berkenaan berpendapat kedua-dua anak syarikat itu memerlukan pendekatan baru selaras dengan cabaran-cabaran baru sekarang khususnya untuk peningkatan effisiensi dan pengoptimasasi kos operasi.

“Jadi, untuk Rapid Rail, seluruh operasi monorel dan LRT termasuk LRT Laluan Ampang ini akan diletakkan di bawah Encik Azmi Mohd Zain selaku Ketua Pegawai Operasi. Seluruh operasi MRT termasuk MRT Laluan Putrajaya, yang dibuka untuk operasi fasa pertama pada bulan Julai ini, diletakkan di bawah Encik Mohd Ramli Shafie sebagai Ketua Pegawai Operasi. Mereka melaporkan diri terus kepada Encik Abdul Hadi Amran sebagai CEO.

“Untuk Rapid Bus pula, Lembaga Pengarah turut meluluskan penstrukturan untuk Rapid Bus mempunyai Ketua Wilayah Sentral untuk Rapid KL; Wilayah Utara untuk Rapid Penang dan Rapid Kamunting; dan Wilayah Timur untuk Rapid Kuantan. Mereka melaporkan diri kepada Encik Muhammad Yazurin Sallij sebagai CEO,” kata Dato’ Sri Tajuddin, yang turut mengumumkan bahawa Encik Mohd Rafizee Abdul Rahman akan menyambung perkhidmatan beliau sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan; sekali gus memastikan segala perancangan jangkamasa panjang untuk polisi kewangan Syarikat berjalan lancar.

Dato’ Sri Tajuddin turut mengumumkan pelantikan anggota Lembaga Pengarah yang baru iaitu mantan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, dan Dato’ Seri Haji Mustafar Haji Ali, yang merupakan bekas Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia. Pelantikan dua bekas pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia itu berkuatkuasa 15 Februari lepas.

“Penyertaan kedua-dua tokoh yang cukup berpengalaman luas dalam perkhidmatan kerajaan khususnya dalam urusan pencegahan rasuah tentunya akan memberi impak besar kepada Prasarana dalam menyerlahkan perkhidmatan yang cemerlang dan berintegriti,” kata Dato’ Sri Tajuddin.

Turut dilantik adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak, yang menggantikan tempat Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, yang kini memegang jawatan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam. Pelantikan Datuk Isham berkuatkuasa 18 Januari lepas.

Language:

Search