Search
Close this search box.

_

BELANJAWAN 2025: PRASARANA MENYAMBUT BAIK BELANJAWAN KETIGA MALAYSIA MADANI BAGI KEMUDAHAN RAKYAT

PETALING JAYA, 18 Oktober 2024 – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) selaku pengendali perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel, serta perkhidmatan bas di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kuantan, menyambut baik Belanjawan Madani Ketiga yang dibentangkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim hari ini.

Inisiatif-inisiatif yang dibentangkan dalam belanjawan 2025 mencerminkan kesungguhan pihak Kerajaan dalam mentransformasi sistem pengangkutan awam negara bagi mencapai sasaran nisbah peratusan penggunaan (modal share) pengangkutan awam sebanyak 40 peratus menjelang tahun 2030.

Di bawah belanjawan tersebut, Kerajaan meneruskan peruntukan bagi inisiatif pas bulanan My50 bagi pengguna pengangkutan awam yang akan memberi manfaat kepada hampir 180,000 pengguna. My50 merupakan sebuah pas perjalanan tanpa had bernilai RM50 sebulan untuk penggunaan perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana.

Prasarana yakin dengan langkah meneruskan pemberian inisiatif My50, dapat mempertingkatkan penggunaan pengangkutan awam dan mengurangkan kesesakan lalu lintas khususnya di Lembah Klang.

Perkhidmatan bas di bawah kendalian Prasarana juga akan diperkasakan, dengan perolehan 250 bas elektrik yang akan diterima secara berperingkat mulai tahun hadapan. Inisiatif penggunaan bas elektrik adalah langkah menyokong pelepasan karbon sifar bersih selain meningkatkan kesalinghubungan batuan pertama dan terakhir (First Mile Last Mile).

Belanjawan ini juga turut memperuntukkan sejumlah RM10 juta untuk meningkatkan capaian perkhidmatan bas dan pengalaman penumpang dengan penambahan lorong bas khas di Jalan Ipoh, Jalan Cheras dan Jalan Gombak sepanjang 47 kilometer.

Perluasan inisiatif ini adalah hasil kejayaan pelaksanaan lorong bas sedia ada di Korridor Jalan Ampang, Jalan Genting Klang dan Jalan Klang Lama yang mencatatkan purata pertambahan jumlah penumpang sebanyak 20 peratus dan purata penjimatan masa perjalanan sehingga 10 minit.

Kemudahan van untuk anak-anak ke sekolah daripada stesen tren terpilih dengan bayaran RM0.50 sen sehala akan turut disediakan oleh Prasarana. Sebagai permulaan, stesen yang terlibat ialah di LRT Sri Rampai dan LRT Taman Melati.

Prasarana juga menyambut baik langkah kerajaan untuk menambah baik 100 hentian bas di Lembah Klang dengan penglibatan beberapa agensi kerajaan dan swasta demi memberi keselesaan dan kemudahan kepada pengguna.

Kami komited untuk melaksanakan inisiatif berkaitan yang dibentangkan dalam belanjawan pada hari ini demi memastikan agenda kerajaan dapat dicapai serta memberi manfaat yang maksimum kepada rakyat.

Language:

Search
Rate Our Services

Bus, Rail or Station Performance (Rapid KL, Rapid Penang, Rapid Kuantan)

Rate Our Retail Offerings

Our Retailers, Business Partner and Mobile App