Search
Close this search box.

_

ANGKA PENGGUNAAN HARIAN PENGANGKUTAN AWAM PRASARANA MENINGKAT SECARA KONSISTEN, PURATA PENGGUNAAN HARIAN MENGHAMPIRI 1.1 JUTA 

 Inisiatif Penambahbaikan Berterusan Memangkin Peningkatan Penggunaan Pengangkutan Awam 

KUALA LUMPUR, 1 DISEMBER 2023 – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), selaku pemilik serta pengendali perkhidmatan rel dan bas terbesar negara, mencatatkan peningkatan penggunaan pengangkutan awam yang konsisten dengan hampir 1.1 juta jumlah penggunaan sehari setakat 30 November 2023. 

Daripada jumlah itu, perkhidmatan Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) mencatatkan purata penggunaan harian sebanyak 835,119 merangkumi perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel, manakala purata penggunaan perkhidmatan Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) adalah sebanyak 258,710. 

Angka penggunaan harian tertinggi adalah 1,200,433 yang telah dicatatkan pada 22 November 2023. 

Angka-angka tersebut merupakan angka tertinggi penggunaan harian perkhidmatan-perkhidmatan kendalian Prasarana yang dicatatkan semenjak negara dilanda pandemik COVID-19. Pada awal tahun 2020, purata penumpang yang menggunakan perkhidmatan Prasarana adalah kira-kira 1.2 juta orang sehari. 

Inisiatif-inisiatif berterusan yang diambil oleh pihak Prasarana serta Rapid Rail dan Rapid Bus bagi mempertingkatkan pengalaman pengguna secara keseluruhannya, termasuk dari segi ketersediaan perkhidmatan dan keadaan fasiliti serta kemudahan awam, telah menyumbang kepada peningkatan pengguna harian yang konsisten. 

Perkhidmatan Rel 

Bagi perkhidmatan rel, pihak Rapid Rail sedang dalam usaha berterusan bagi menambahbaik perkhidmatan dalam memastikan perjalanan yang lancar tanpa gangguan bagi penumpang di kesemua laluan kendaliannya. 

 Semenjak bulan September tahun ini, pihak Rapid Rail telah memulakan pengoperasian empat buah tren baharu bagi LRT Laluan Kelana Jaya di bawah projek KLAV27 (Kuala Lumpur Additional Vehicle). 

  • Baki 15 buah tren akan diterima secara berperingkat sehingga bulan Disember 2024. Pada ketika ini, LRT Laluan Kelana Jaya secara purata beroperasi dengan 48 buah tren dengan kekerapan purata 3 minit. 

Penggunaan MRT Laluan Putrajaya dan Laluan Kajang juga menunjukkan angka yang memberangsangkan. 

  • Purata penggunaan MRT Laluan Putrajaya yang dilancarkan sepenuhnya pada bulan Mac tahun ini adalah sebanyak 127,872 pada bulan November, berbanding 122,720 pada bulan sebelumnya. 
  • MRT Laluan Kajang pula mencatatkan purata penggunaan harian seramai 225,705 pada bulan November, satu peningkatan daripada purata penggunaan harian sebanyak 219,576 pada bulan sebelumnya. Angka ini dijangka akan bertambah menjelang bulan Januari 2024 apabila bilangan tren ditambah kepada 36 buah dengan kekerapan 4 minit. 

Perkhidmatan Bas 

Rapid Bus akan menambah bilangan bas di sekitar Lembah Klang bagi memenuhi permintaan yang meningkat serta demi menyelaraskan pengoperasian bas agar lebih efisyen. Dijangka sebanyak 1,000 buah bas akan beroperasi setiap hari menjelang hujung tahun ini, peningkatan daripada 762 buah pada awal tahun ini. 

Rapid Bus juga melaksanakan projek percubaan laluan-laluan bas di sekitar Kuala Lumpur dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). 

  • Projek percubaan lorong bas di Jalan Ampang (Jalan Rhu ke persimpangan Jalan Tun Razak) yang bermula pada 3 Julai 2023 telah membuahkan hasil yang memberangsangkan, di mana Rapid Bus telah mencatat peningkatan jumlah pengguna sebanyak 15% di koridor tersebut. 
  • Dua projek percubaan lorong bas baharu iaitu Jalan Genting Klang dan Jalan Ampang (persimpangan Jalan Tun Razak ke Jalan Rhu) telah mula dilaksanakan pada 15 November 2023. 

Fasiliti dan Kemudahan Awam 

Dari segi fasiliti serta kemudahan awam di stesen-stesen termasuk lif dan eskalator, pada ketika ini 99% kemudahan beroperasi secara normal. Namun, pembaikan fasiliti dan kemudahan adalah usaha berterusan di bawah program penyelenggaraan berasaskan keadaan (condition-based maintenance). 

Pihak Prasarana komited dalam menambahbaik kesemua perkhidmatan rel dan bas serta fasiliti kemudahan awam di bawah kendaliannya secara berterusan bagi kemudahan dan keselesaan pengguna serta menggalak penggunaan pengangkutan awam, selari dengan agenda pengangkutan awam yang mensasarkan penggunaan pengangkutan awam sebanyak 40% menjelang tahun 2030. 

Prasarana mengucapkan terima kasih kepada semua penumpang yang menggunakan perkhidmatan yang disediakan dan akan terus berusaha untuk memastikan faktor keselamatan, kelancaran dan kestabilan perkhidmatan serta fasiliti yang memuaskan sentiasa dipelihara untuk manfaat orang ramai. 

Language:

Search