KUALA LUMPUR, 19 Oktober: Sebanyak lapan (8) buah stesen transit aliran ringan (LRT) dan transit aliran massa (MRT) terpilih sebagai pusat respons asas kecemasan awal menerusi Rapid KL Safety Point (RSP).
Program RSP ini adalah kesinambungan daripada inisiatif Go To Safety Point (GTSP) yang diperkenalkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2013 dengan menjadikan stesen-stesen minyak dan kedai serbaneka sebagai rakan kongsi.
Pada majlis pelancaran RSP di stesen MRT Kampung Batu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Encik Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, inisiatif ini dapat meningkatkan keyakinan pengguna pengangkutan awam serta membantu mengurangkan kejadian jenayah di premis pengangkutan awam.
Beliau berkata, “Mengendalikan jumlah penumpang yang besar merupakan tanggungjawab petugas barisan hadapan Rapid KL bagi memastikan keselesaan mereka senantiasa berada pada tahap yang terbaik.
“Semua anggota barisan hadapan kami mempunyai kemahiran mengendalikan situasi cemas dan bersedia memberikan pertolongan kecemasan kepada penumpang yang memerlukan bantuan. Latihan ini adalah sebahagian daripada silibus asas petugas operasi kami.”
Sebagai permulaan, sebanyak lapan (8) stesen rel kendalian Rapid Rail akan terlibat dalam projek perintis ini dengan paparan pelekat khas menandakan stesen ini menawarkan bantuan kecemasan kepada mereka yang memerlukan.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, “Kami amat berterima kasih kepada Prasarana Malaysia Berhad dan Rapid Rail Sdn Bhd di atas jalinan kerjasama ini bagi bersama pihak berkuasa membanteras jenayah sejajar hasrat kerajaan mahu menjadikan pusat bandar selamat dan selesa.”
Peranan dan tanggungjawab Rapid KL menerusi program ini adalah memberi kemudahan seperti rawatan kecemasan kepada pengguna yang memerlukan bantuan, menyediakan tempat untuk mangsa berehat, menghubungi pihak polis dan hospital untuk mendapatkan ambulan sekiranya mangsa mengalami kecederaan
Program RSP ini akan dilaksanakan di stesen-stesen rel terpilih di bawah seliaan PDRM (Kontinjen Kuala Lumpur) merangkumi stesen MRT Kampung Batu; Stesen LRT dan MRT Pasar Seni; Stesen LRT Masjid Jamek (Laluan Kelana Jaya dan Laluan Ampang); Stesen LRT KL Sentral; Stesen LRT KLCC dan Stesen MRT Bukit Bintang. Stesen-stesen perintis ini dipilih berdasarkan jumlah penumpang yang tinggi dan tumpuan awam seperti pelancong.