Kuala Lumpur, 19 Disember 2021 – Rapid Bus Sdn Bhd selaku pengendali rangkaian perkhidmatan bas Rapid KL ingin memaklumkan bahawa operasi enam puluh lapan (68) laluan bas di sekitar Lembah Klang yang terjejas akibat hujan lebat dan banjir kilat masih belum boleh beroperasi sehingga diberitahu kelak.
Pada ketika ini, Rapid Bus Sdn Bhd sedang giat berusaha untuk memulihkan keadaan Depoh Operasi di Shah Alam yang memerlukan kerja-kerja pembaikan, serta pemeriksaan keadaan bas-bas yang terkesan akibat banjir.
Namun begitu, operasi perkhidmatan Bas Rapid Transit (BRT) Laluan Sunway, dan operasi perkhidmatan rel Rapid KL di bawah kendalian Rapid Rail Sdn Bhd, di sekitar Lembah Klang masih beroperasi seperti biasa bagi penumpang yang ingin menggunakannya.
Dalam usaha untuk menyahut dan merealisasikan semangat Keluarga Malaysia, Prasarana turut membuka sebuah pusat perlindungan sementara di Stesen LRT Putra Heights. Pusat ini telah dibuka bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir yang tinggal di dalam lingkungan kawasan Putra Heights.
Antara kemudahan yang disediakan di pusat perlindungan ini adalah bilik solat, bilik untuk ibu & anak, bilik kecemasan serta ‘command centre’. Di samping itu barangan keperluan asas seperti makanan dan minuman turut disediakan.
Sehingga kini, seramai 60 orang telah ditempatkan di sini. Bagi mereka yang tinggal di sekitar kawasan Putra Heights dan masih memerlukan tempat untuk berteduh akibat banjir, mereka boleh datang ke Stesen LRT Putra Heights.
Para penumpang boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai operasi perkhidmatan bas Rapid KL di laman media sosial Rapid KL. Maklumat terbaharu operasi bas akan dikemaskini di laman media sosial bagi memudahkan para penumpang merancang perjalanan mereka.
Kami ingin mengingatkan orang awam untuk kekal selamat dan berwaspada dengan situasi semasa.