Search
Close this search box.

_

27 HARI PALING BAHAGIA BUAT NOEH NIQMAN

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Teruja untuk bertugas di Mekah, pegawai integriti Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Noeh Niqman Zainal Abidin berkata tempoh 27 hari yang bakal beliau harungi di Tanah Suci bakal menjadi hari-hari paling bahagia dalam karier pekerjaannya.

Biarpun sedia maklum dengan cabaran getir yang bakal diharungi semasa bertugas mengendalikan perkhidmatan tren haji Al Mashaaer Al Mugaddassah Metro Southern Line (MMMSL), Niqman berkata cabaran-cabaran berkenaan akan hanya menguatkan lagi semangat beliau untuk menabur bakti membantu para jemaah menunaikan ibadat haji mereka dengan sebaik mungkin.

“Bagi saya, saya adalah insan yang teramat bertuah untuk terpilih untuk bertugas dengan perkhidmatan MMMSL pada musim haji 1438 Hijrah ini. Saban tahun, saya hanya gembira bercampur sedih apabila melihat rakan-rakan seperjuangan di Prasarana mendapat peluang untuk bertugas di kota suci Mekah ini.

“Gembira untuk mereka yang mendapat peluang untuk bertugas di sana. Sedih kerana saya bukan di kalangan mereka. Kerana itu, sukar untuk saya gambarkan perasaan saya ini. Tempoh 27 hari adalah hari-hari paling bermakna dan paling bahagia buat saya,” kata Niqman ketika ditemui di KLIA sebelum berlepas ke Jeddah hari ini bersama-sama dengan 46 rakan petugas dari Kumpulan Prasarana.

Turut hadir untuk menghantar delegasi ini adalah Haji Ishak Jahari, yang merupakan Ketua Pengurusan Aset Kumpulan Prasarana merangkap Presiden Kelab Sukan dan Kebajikan Kumpulan Prasarana (KSKKP). Sebelum berlepas, Haji Ishak memimpin bacaan doa untuk keselamatan anggota delegasi hari ini dan kesejahteraan seluruh warga kerja Kumpulan Prasarana yang bertugas di Arab Saudi.

Prasarana dianugerahkan kontrak tiga tahun untuk mengendalikan penyelenggaraan dan operasi perkhidmatan MMMSL sejak 2015. Ini adalah tahun ketiga untuk Prasarana mengendali perkhidmatan tren haji, yang beroperasi secara khusus pada musim haji daripada 7 hingga 13 Zulhijjah.  

Untuk perkhidmatan tahun ini, yang bakal bermula pada 29 Ogos ini, kira-kira 400 staf Prasarana dihantar untuk menyokong operasi, yang secara keseluruhan melibatkan kira-kira 17,000 orang termasuk pasukan keselamatan dari Kerajaan Arab Saudi.  

Bertugas di Jabatan Integriti Prasarana, Niqman, yang akan kembali ke tanah air pada 11 September, adalah antara staf yang akan ditugaskan untuk mengurus dan menyelenggarakan pasukan yang dipertanggungjawabkan untuk mengawal para penumpang ketika menggunakan tren dan semasa di stesen.

Kira-kira 350,000 penumpang akan menggunakan perkhidmatan berkenaan secara serentak kerana mengikuti pergerakan haji – bermula daripada Wukuf di Arafah pada siang 9 Zulhijjah sebelum bergerak ke Mudzalifah untuk bermalam di Mina selepas waktu Maghrib pada kira-kira 7 malam.  

Daripada tiga stesen di Mudzalifah, mereka akan bergerak pula ke stesen Mina 3 pada keesokan hari dan dua hari berikutnya untuk ibadat melontar di Jamrah bagi menyempurnakan ibadat haji mereka.

“Sebagai persiapan, saya cuba mempelajari bahasa Arab, yang pada saya adalah satu daripada bahasa yang sukar. Saya belajar untuk menguasai beberapa istilah-istilah penting khusus untuk membantu saya ketika bertugas nanti.  

“Bagi melengkapkan lagi diri, saya juga sentiasa berkomunikasi dan berinteraksi dengan rakan sahabat perjuangan yang pernah bertugas di sana. Menimba pengalaman daripada mereka sebenarnya menguatkan lagi semangat saya untuk berkhidmat di Mekah ini.

“Sesungguhnya, saya adalah insan bertuah yang dipilih oleh Prasarana untuk menabur bakti di Tanah Suci Mekah, yang menjadi tumpuan umat islam seluruh dunia. Siapa sangka saya akan terpilih kerana ramai yang memohon. Ini adalah rezeki saya; dan saya amat bersyukur kepada Allah.

“Peluang keemasan ini akan saya gunakan sebaik mungkin walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran di sana,” kata Niqman, yang mula bertugas dengan Prasarana 19 tahun lepas ketika era perkhidmatan PUTRA-LRT.

Perasaan teruja itu turut dikongsi oleh Encik Ahmad Kamal Basaruddin, yang bertugas dengan anak syarikat, Prasarana Integrated Management & Engineering Services (PRIME) dalam pengurusan projek.

“Tentunya, saya gembira untuk kembali ke Tanah Suci Mekah selepas 14 tahun ketika saya menunaikan ibadat umrah. Pada saya, ini adalah kerja yang amat mulia kerana kita membantu saudara-saudara Islam lain untuk menunaikan ibadat haji.

“Jadi, saya bukan saja dapat berkhidmat untuk Syarikat; tetapi juga berkhidmat kepada ugama saya dengan membantu saudara-saudara se-Islam. Semoga bakti kecil saya ini diterima sebagai satu ibadah,” kata Ahmad Kamal, 44, yang akan juga bertugas dalam pengurusan penumpang atau ‘crowd control’.

Bertugas di Jabatan Kewangan Kumpulan Prasarana, Mohd Hasrol Izwan Mohd Hasni mengaku merasa berdebar-debar untuk pergi ke Tanah Suci Mekah.

“Walaupun pernah pergi ke Mekah untuk menunaikan umrah, ini adalah pertama kali untuk saya pergi ke Depot MMMSL dan bertugas di sana. Saya gembira; tetapi rasa cemas pun ada juga. Kerana, ini adalah satu tanggungjawab yang besar. Saya difahamkan suasana bekerja di sana jauh sama sekali dengan apa yang saya lakukan di sini.

“Apa lagi dengan saya yang banyak bertugas dalam pejabat, mengendalikan hal ehwal kewangan. Di sana, saya akan juga bertugas dalam ‘crowd control’; dan difahamkan orang yang akan menggunakan perkhidmatan tren ini beratus ribu dalam masa yang amat singkat.

“Tetapi, dengan bimbingan daripada rakan-rakan lain yang sudah mempunyai pengalaman, saya yakin Prasarana akan dapat melaksanakan tugas ini dengan lebih baik daripada tahun lepas di mana ia diiktiraf sebagai perkhidmatan yang terbaik dalam sejarah MMMSL ini. Sebagai staf Prasarana dan rakyat Malaysia, saya teramat berbangga dengan kejayaan ini,” kata Hasrol.

Language:

Search