Search
Close this search box.

_

TREN ‘CERITA MALAYSIAKU’ RAPID KL MEWARNAI SAMBUTAN HARI MALAYSIA YANG KE-60 TAHUN 

 KUALA LUMPUR, 13 September 2023 – Bersempena memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September tahun ini, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengambil inisiatif melancarkan sebuah tren LRT Laluan Kelana Jaya bertemakan ‘Cerita Malaysiaku’. 

Tren ‘Cerita Malaysiaku’ tersebut dibalut khas dan dihiasi dengan visual yang memaparkan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian kaum dan budaya. 

Laluan Kelana Jaya, selaku laluan rel dengan jumlah penumpang tertinggi serta jajaran yang melalui kawasan-kawasan berkepadatan tinggi termasuk segitiga emas Kuala Lumpur, dipilih sebagai platform untuk inisiatif ini. 

Inisiatif ini adalah komitmen Prasarana dan Rapid Rail sebagai pengendali perkhidmatan rel di Lembah Klang dalam menyokong usaha kerajaan mempromosikan sambutan Hari Malaysia. 

Majlis pelancaran tren tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Yang Berhormat Tuan Fahmi Fadzil dengan menaiki tren khas ‘Cerita Malaysiaku’ dari Stesen Universiti ke Stesen KLCC. YB Fahmi turut beramah mesra bersama penumpang disamping mengedarkan Jalur Gemilang serta cenderahati. 

Inisiatif tren ‘Cerita Malaysiaku’ ini tercetus bagi menghargai negara Malaysia serta berkongsi fakta dan maklumat agar ianya sentiasa diperingati. 

Orang ramai dapat melihat keunikan tema tren yang berbeza bagi setiap koc seperti Rukun Negara, Negaraku, kebudayaan, perayaan, kepelbagaian makanan, tempat-tempat menarik dan juga sejarah pengangkutan awam di Malaysia. 

Pengguna yang menaiki tren ‘Cerita Malaysiaku’ akan disajikan dengan pelbagai maklumat yang menarik di sepanjang perjalanan untuk ke destinasi yang ingin ditujui. 

Language:

Search