Search
Close this search box.

_

STESEN TAMAN MUTIARA DI MRT LALUAN KAJANG DITUTUP SEMENTARA ATAS FAKTOR KESELAMATAN

KUALA LUMPUR, 14 April 2024 – Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) mengesahkan bahawa Stesen MRT Taman Mutiara telah ditutup buat sementara atas faktor keselamatan akibat asap yang tebal yang dipercayai datang daripada Bilik Alat Telekomunikasi stesen berkenaan.

Ekoran kejadian yang dikesan pada jam 4.43 petang tadi, pihak Bomba telah dihubungi dan tiba di lokasi pada jam 4.58 petang.
Pihak pusat kawalan operasi telah mengambil keputusan untuk menutup stesen berkenaan setelah mendapat arahan daripada pihak Bomba, dan semua tren tidak berhenti di stesen tersebut.

Perkhidmatan bas perantara telah diaktifkan bagi memastikan kesinambungan perjalanan penumpang-penumpang yang terjejas. Perkhidmatan tren bagi stesen-stesen lain tidak terjejas dan beroperasi seperti biasa.

Tiada kecederaan kepada penumpang dan juga petugas-petugas operasi akibat kejadian tersebut.
Petugas-petugas stesen dan anggota Polis Bantuan tambahan turut memastikan keselamatan penumpang dan mengawal keadaan di lokasi.

Kerja-kerja mengenal pasti punca sedang dijalankan dan pihak Rapid Rail akan memaklumkan perkembangan mengenai pembukaan semula stesen ini setelah mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa.

Pihak Rapid Rail memohon maaf diatas kesulitan yang dialami oleh penumpang-penumpang yang terjejas, namun keselamatan penumpang dan petugas menjadi keutamaan pihak operasi.

Kerjasama penuh akan diberikan kepada pihak berkuasa bagi memastikan punca sebenar kejadian asap berkenaan.

Language:

Search