Search
Close this search box.

_

STESEN LRT, MRT, MONOREL BERSIH DAN SELAMAT

KUALA LUMPUR, 29 Disember – Selepas pengiktirafan ISO9001:2015 untuk pengurusan berkualiti, stesen-stesen LRT, MRT dan monorel kendalian Rapid Rail Sdn Bhd termasuk Pusat Kawalan Operasi dan worksyop-worksyopnya pula diperakui sebagai bersih dan selamat serta dilengkapi visual maklumat yang jelas.

Perakuan ini diberikan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), yang telah menjalankan audit Sistem Amalan Persekitaran Berkualiti QE/5S ke atas stesen-stesen dan fasiliti-fasiliti untuk keempat-empat laluan rel urban kendalian anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) itu.

Diketuai oleh Nur Rafidah Zulkifli, yang bertindak sebagai ketua auditor, panel pengauditan MPC yang turut dianggotai oleh Ishak Salleh, Kamaruddin Mamat dan Mohd Lizuan Mohd Latif membuat pemeriksaan stesen dan fasiiti-fasiliti lain untuk keempat-empat laluan rel – LRT Laluan Kelana Jaya, LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, Laluan KL Monorel dan MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang.

Dalam mengendalikan pemeriksaan yang diadakan semalam (28 Disember), keempat-empat anggota itu berpecah untuk memeriksa setiap laluan untuk aspek-aspek kebersihan, keselamatan dan pengurusan visual berdasarkan kepada prinsip-prinsip antarabangsa 5S – Seiri, Seiton, Seiso, Seiketsu dan Shitsuke; ataupun prinsip-prinsip Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amal dalam Bahasa Malaysia.

“Alhamdulillah, hasil pemeriksaan yang dijalankan telah memuaskan hati kesemua anggota panel auditor perbadanan berkenaan sekali gus berkenan untuk menganugerahkan kepada Rapid Rail dengan Pensijilan Persekitaran Berkualiti (5S) MPC.

“Ucapan syabas dan tahniah daripada saya kepada semua warga kerja Rapid Rail, yang terus mempamirkan dedikasi, komitmen dan kegigihan untuk meraih pengiktirafan dan pensijilan Sistem Amalan Persekitaran Bersih & Berkualiti (QE/5S) daripada MPC dan juga International Certificate of ISO9001: version 2015 daripada SIRIM QAS International.

“Kedua-dua persijilan ini sebenarnya diraih pada hari yang sama, pada tanggal 28 Disember 2017, yang pastinya akan tercatat sebagai satu hari yang cukup bersejarah untuk Rapid Rail. Sekali lagi, ucapan tahniah untuk semua,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Dato’ Ir. Zohari Sulaiman.

Dalam ulasan mereka, panel audit MPC itu menyatakan bahawa aspek keselamatan telah diberi keutamaan dan dipatuhi di semua stesen dan fasiliti yang telah diaudit dan efektif untuk menggelakkan sebarang kejadian kemalangan.

Untuk pengurusan visual maklumat, panel berkenaan bersetuju bahawa Rapid Rail telah berusaha mewujudkan dan mempamerkan maklumat berkaitan dengan operasi untuk rujukan pelanggan; dan telah dilaksanakan dengan kemas.

Bagi aspek kebersihan, panel membuat audit pelbagai fasiliti termasuk peralatan dalam pejabat, kemudahan awam, kawasan ruang stesen dan papan maklumat untuk keselesaan pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Dato’ Ir Zohari Sulaiman menerima sijil Sistem Amalan Persekitaran Berkualiti QE/5S daripada Nur Rafidah Zulkifli, yang bertindak sebagai ketua auditor.

Language:

Search