Search
Close this search box.

_

STATUS TERKINI PENAMBAHBAIKAN OPERASI PERKHIDMATAN RAPID RAIL

KUALA LUMPUR, 26 Oktober 2022 – Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail), selaku operator perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel di Lembah Klang, ingin memaklumkan status terkini kerja-kerja penambahbaikan operasi perkhidmatan rel di bawah kendaliannya.

Perkhidmatan Rapid Rail yang merangkumi keseluruhan jajaran LRT, MRT dan Monorel kini sedang melalui penambahbaikan bagi mempertingkatkan mutu perkhidmatan demi kemudahan dan keselesaan pengguna.

Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya

  • Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya kini sedang melalui proses menambahbaik selepas 24 tahun beroperasi kepada pengguna sejak pembukaannya pada tahun 1998.
  • LRT Laluan Kelana Jaya kini beroperasi dengan kekerapan 5 minit di waktu puncak dan 7 minit di luar waktu puncak pada hari bekerja.
  • Atas faktor keselamatan, hanya tren yang melepasi ujian kelayakan operasi sahaja akan digunakan di dalam perkhidmatan. Bilangan tren yang terhad secara tidak langsung telah menyebabkan pengurangan kekerapan tren pada waktu puncak pagi dan petang.
  • Bilangan tren yang terhad adalah disebabkan kekurangan alat ganti seperti ‘tachometer’ yang amat diperlukan bagi memastikan tren dapat beroperasi dengan selamat. ’Tachometer’ yang terletak pada roda tren ialah peranti yang menghantar maklumat ke sistem kawalan tren untuk mengawal kelajuan, kedudukan dan arah pergerakan tren.
  • Buat masa ini, pihak Rapid Rail masih lagi menunggu penerimaan ‘tachometer’ yang telah mula ditempah pada pertengahan Mei 2022 daripada pembekal di Eropah.
  • Pihak Rapid Rail telah menerima surat bertulis daripada pembekal menyatakan jadual penghantaran alat ganti ini mengalami kelewatan daripada jadual asal iaitu bulan Disember 2022 disebabkan masalah bekalan komponen elektronik bagi ‘tachometer’ tersebut.
  • Jangkaan tarikh baharu penghantaran alat ganti akan diterima secara berperingkat dari sekarang sehingga bulan Mei 2023. Walaubagaimanapun, pihak Rapid Rail sedang dalam perbincangan dengan pihak pembekal agar penghantaran alat ganti tersebut dapat dipercepatkan.
  • Setelah menerima alat ganti tersebut, kerja-kerja penukaran akan segera dijalankan dan kekerapan tren dijangka akan kembali kepada 3 minit menjelang bulan September 2023.

Tren Baharu Bagi LRT Laluan Kelana Jaya

  • Di bawah projek Kuala Lumpur Additional Vehicles 27 (KLAV27), pihak Rapid Rapid Rail kini dalam proses menerima 19 tren 4-gerabak baharu bagi LRT Laluan Kelana Jaya.
  • Tren-tren baharu tersebut akan diterima secara berperingkat bermula bulan Jun 2023 sehingga bulan Disember 2024, dan akan menggantikan sebahagian daripada operasi tren 2-gerabak yang telah digunapakai sejak tahun 1998.

Perkhidmatan MRT Laluan Kajang

  • Buat masa ini, perkhidmatan MRT Laluan Kajang beroperasi menggunakan 26 buah tren dengan kekerapan 6 minit di waktu puncak dan 10 minit di luar waktu puncak pada hari bekerja.
  • Bilangan tren yang beroperasi adalah terhad akibat keadaan roda pada beberapa tren yang hampir haus dan memerlukan penggantian segera.
  • Program penggantian roda kini sedang giat dijalankan, dan untuk tujuan tersebut Rapid Rail telah membeli sebanyak 1040 unit roda baharu yang akan diterima secara berperingkat.
  • Proses penggantian ini telah bermula sejak bulan Jun 2022 dan dijangka siap pada bulan Ogos 2023. Kerja-kerja penggantian memerlukan tempoh masa bagi memastikan kualiti pemasangan dijalankan secara terperinci dan teliti demi keselamatan pengguna.
  • Melalui proses penggantian ini, lebih banyak tren boleh beroperasi. Penambahbaikan secara progresif akan dapat dilihat dari sekarang dan kekerapan tren akan dapat dikembalikan kepada 4 minit di waktu puncak pada bulan Ogos 2023.

Perlanjutan Waktu Puncak

  • Selain daripada penambahbaikan yang sedang giat dijalankan, pihak Prasarana juga sentiasa mengambil maklum cadangan dan maklumbalas daripada pengguna pengangkutan awam.
  • Sehubungan itu, bermula 25 Oktober 2022, jadual waktu puncak dilanjutkan seperti berikut: –
  • Perlanjutan waktu puncak perkhidmatan tren diselaraskan dengan penambahan kekerapan perkhidmatan Rapid Bus, bagi kemudahan para pengguna.

Dengan penambahbaikan berperingkat yang sedang dijalankan serta perlanjutan waktu-waktu puncak, Rapid Rail berharap dapat memperbaiki perkhidmatan serta memulihkan kebolehpercayaan perkhidmatan rel di Lembah Klang.

Kami akan memaklumkan perkembangan proses penambahbaikan dari masa ke semasa kepada orang awam menerusi saluran-saluran media sosial dan media massa.

Pihak Rapid Rail amat memahami akan kesulitan yang terpaksa dihadapi oleh pengguna dan pada masa yang sama kami menghargai sokongan orang ramai kerana menggunakan pengangkutan awam. Sebarang cadangan penambahbaikan boleh disalurkan menerusi emel suggest@rapidkl.com.my.

Language:

Search