Search
Close this search box.

_

SAFE KIDS MALAYSIA, PRASARANA LANCAR MINGGU KESELAMATAN JALAN RAYA PBB KE-7

KUALA LUMPUR, 23 Mei 2023 – Safe Kids Malaysia Universiti Putra Malaysia (Safe Kids Malaysia), sebuah NGO bersekutu bagi keselamatan jalanraya, dengan kerjasama Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah melancarkan program Minggu Keselamatan Jalan Raya Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) ke-7, pada hari ini. 

Program yang dijalankan setiap dua tahun tersebut bertujuan memberi kesedaran umum tentang kaedah untuk mengatasi kemalangan dan kematian jalan raya yang tinggi di peringkat global.

Bertemakan ‘Rethink Mobility’, program pada tahun ini menekankan penggunaan pengangkutan awam selain berbasikal dan berjalan kaki sebagai kaedah perjalanan alternatif bagi membantu mengurangkan kemalangan di jalanraya. 

Ia juga bertujuan mengajak semua pihak berkenaan termasuk penggubal dasar, operator perkhidmatan pengangkutan awam serta pengguna jalan raya untuk memikir semula kaedah pergerakan (mobiliti) yang lebih selamat bagi orang ramai.

Majlis pelancaran program tersebut telah dihadiri oleh Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia, Prof. Dr. Kulanthayan KC Mani Universiti, dan Ketua Pegawai Kesihatan, Keselamatan dan Pembangunan Lestari Kumpulan Prasarana, En Idzqandar Abu Bakar. Turut hadir adalah Dr. Wong Yau Dueen, Pengarah Bahagian Keselamatan Jalan Raya, (BKJR), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). 

Menurut Dr. Kulanthayan, Setiap tahun, kira-kira 50 juta orang di seluruh dunia menjadi mangsa kemalangan jalan raya dan daripada jumlah tersebut, seramai 1.3 juta orang maut akibatnya. Tambah beliau, kemalangan jalan raya merupakan pembunuh utama kanak kanak dan golongan muda di peringkat global.

“Pada tahun 2022, Malaysia mencatatkan 545,630 kemalangan, atau satu kemalangan setiap minit serta 6,067 mangsa maut dalam kemalangan jalan raya atau satu kematian setiap 90 minit,” kata Dr. Kulanthayan.

“Dengan kerjasama semua pihak termasuk penyedia perkhidmatan pengangkutan awam, NGO dan pengguna jalan raya, kita dapat membantu mengurangkan jumlah kemalangan dan kehilangan nyawa di jalanraya.     

Sementara itu, ketika berkongsikan tentang peranan Prasarana dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam rel dan bas kepada orang ramai, Idzqandar berkata,

“Sebagai operator perkhidmatan pengangkutan awam terbesar negara, Prasarana Malaysia Berhad komited dalam memainkan peranan kami bagi menggalak serta memperkasa penggunaan pengangkutan awam. Melalui inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan oleh Prasarana, harapan kami adalah agar kesesakan jalan raya dapat dikurangkan dan secara tidak langsung dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.”

Antara inisiatif yang dilaksana Prasarana termasuk kolaborasi dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam mewujudkan laluan khas bas bagi menambahbaik kebolehpercayaan perkhidmatan, pas perjalanan My50 untuk rakyat Malaysia, dan kerjasama strategik dengan Kumpool serta penyedia-penyedia perkhidmatan e-hailing yang lain. 

Language:

Search