Search
Close this search box.

_

Rapid KL Terus Utamakan Kepentingan Penumpang

KUALA LUMPUR, 15 Oktober – Meskipun berhadapan dengan prospek bilangan penumpang yang menurun akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (#PKPB) di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya, perkhidmatan tren dan bas Rapid KL terus berjalan pada kekerapan normal bagi memastikan perjalanan warga kota terus lancar dan selesa.

Demi keselamatan dan keselesaan semua para penumpang, Rapid KL turut meletakkan pematuhan prosedur operasi standard atau ‘Standard Operating Procedure’ (#SOP) di kalangan para penumpang dan warga kerjanya sebagai keutamaan utama di samping melaksanakan secara komprensif kerja-kerja pembasmian kuman untuk semua aset awam miliknya khususnya untuk tren dan stesen-stesen serta bas-bas yang digunakan. 

Memasuki hari ketiga PKPB hari ini, Pengerusi Kumpulan Prasarana, Dato’ Sri Tajuddin Abdul Rahman sendiri membuat tinjauan hari ini terhadap pematuhan SOP di kalangan penumpang dan staf yang bekerja dan tahap kebersihan di stesen-stesen; sambil mengedarkan cecair pembasmi kuman kepada para penumpang. Diiringi oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Encik Muhammad Nizam Alias dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana, Datin Hajjah Norlia Noah, beliau memulakan tinjauan di Stesen MRT Pusat Bandar Damansara sebelum bergerak menaiki tren ke Stesen MRT Pasar Seni, yang berintegrasi dengan perkhidmatan LRT dan bersambung dengan hab bas utama Pasar Seni. 

Bertukar laluan di stesen berkenaan itu, Dato’ Sri Tajuddin dan rombongan para pegawai kanan Kumpulan Prasarana menaiki tren LRT Laluan Kelana Jaya untuk meneruskan tinjauan ke Stesen Masjid Jamek, yang berintegrasi dengan perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling dan merupakan stesen tren Rapid KL yang paling sibuk dengan mengendalikan kira-kira 40,000  penumpang sehari sekarang; berbanding dengan lebih 65,000 sebelum penularan wabak COVID-19.

Mengulas tentang tinjauan beliau, Dato’ Sri Tajuddin menyatakan rasa puas hati dengan langkah-langkah yang telah diambil oleh pihak pengurusan Rapid Rail dan Rapid Bus dalam menangani penularan wabak COVID-19, yang kini semakin serius di negara ini dengan ancaman gelombang ketiga. 

Bagi mencegah penularan wabak berkenaan, Rapid Rail memastikan semua tren untuk keempat-empat laluan LRT Kelana Jaya, LRT Ampang/Sri Petaling, Laluan Monorel dan MRT Laluan Kajang dicuci setiap hari di luar waktu puncak. Pembersihan untuk bahagian dalaman tren pula dilakukan di setiap stesen-stesen terakhir pada waktu puncak pagi dan petang oleh kakitangan pembersihan. Dengan peningkatan kes #COVID19 di negara ini, kerja-kerja cucian untuk eskelator, pemegang tangan, lif dan mesin pembelian tiket di semua stesen LRT, MRT dan Monorel dipertingkatkan. Stesen-stesen turut menyediakan kemudahan cecair pembersih tangan di kaunter khidmat pelanggan, di kawasan berbayar (concourse) dan di platfom setiap stesen LRT, MRT dan Monorel.

Untuk sentiasa mengingatkan para penumpang tentang bahaya wabak COVID-19, klip video-video kesedaran dan langkah pencegahan turut disiarkan di  stesen LRT, MRT dan Monorel; di samping pengumuman secara berterusan dibuat di stesen dan di dalam tren khususnya tentang pemakaian pelitup muka sepanjang masa dan pentingnya mencuci selalu mencuci tangan dengan cecair pembasmi kuman. Saringan suhu badan turut dijalankan ke atas para penumpang, yang turut dikehendaki mendaftar melalui aplikasi MySejahtera atau di buku log yang disediakan sebelum memasuki stesen. 

Di pihak staf pula, semua kakitangan stesen termasuk pegawai khidmat pelanggan dan kakitangan pembersihan sentiasa memakai penutup muka dan menggunakan sarung tangan getah apabila keadaan memerlukan. Semua kakitangan diwajibkan untuk memeriksa suhu badan sebelum memulakan tugas setiap hari.

Langkah-langkah pencegahan ketat turut diambil oleh Rapid Bus dengan bahagian dalaman semua bas termasuk yang digunakan di Pulau Pinang, Perak dan Pahang serta bas perantara Jom Naik MRT seperti tempat duduk, tiang, butang loceng dan lain-lain dicuci setiap hari. Bahagian luaran bas juga dicuci setiap hari. Di samping peringatan mengenai langkah-langkah pencegahan COVID-19 melalui poster dan video di skrin dalam bas untuk meningkatkan kesedaran di kalangan penumpang, Rapid Bus turut menggunakan aplikasi Google Maps, Moovit, MyRapidBus Kiosk (https://myrapidbus.prasarana.com.my/kiosk) & Rapid Penang Journey Planner untuk  membantu penumpang merancang  perjalanan supaya tidak menunggu terlampau lama di kawasan awam.

Untuk staf, Rapid Bus melaksanakan pelbagai langkah – langkah pencegahan termasuk pemeriksaan kesihatan wajib terhadap kapten – kapten bas seperti pemeriksaan suhu badan, pemberian topeng muka dan penggunakan cecair pembasmi kuman serta  penggunaan penghadang plastik untuk melindungi Kapten Bas. Hanya Bas Kapten yang sihat dan lulus saringan kesihatan sahaja dibenarkan untuk memandu bas.

Language:

Search
Rate Our Services

Bus, Rail or Station Performance (Rapid KL, Rapid Penang, Rapid Kuantan)

Rate Our Retail Offerings

Our Retailers, Business Partner and Mobile App