Search
Close this search box.

_

RAPID KL MENAMBAH DUA PROJEK PERCUBAAN LORONG BAS BAGI MENAMBAHBAIK PERJALANAN BAS DI KUALA LUMPUR

  • Projek Lorong Bas Akan Dimulakan di Jalan Genting Kelang
  • Projek Lorong Bas Jalan Ampang Akan Dilanjutkan Bagi Merangkumi Operasi Waktu Puncak Petang

KUALA LUMPUR, 10 November 2023 – Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus), pengendali perkhidmatan pengangkutan bas Rapid KL dan bas perantara MRT, dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyambut baik inisiatif Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya untuk menambahbaik perjalanan bas di sekitar Bandaraya Kuala Lumpur.

Justeru, Rapid Bus akan melaksanakan dua projek percubaan lorong bas tambahan di dua koridor di Kuala Lumpur, dengan kerjasama DBKL, bagi memastikan perjalanan bas yang lebih lancar, cepat dan mudah bagi pengguna pengangkutan awam.

En. Muhammad Yazurin Sallij, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus berkata, “Pihak Rapid Bus komited dalam menyediakan perkhidmatan bas yang lebih lancar bagi penumpang-penumpang. Kami menjangka projek-projek percubaan ini akan dapat menjadi pemangkin bagi peralihan mod perjalanan, sekaligus membantu dalam mengurangkan kesesakan lalulintas yang semakin kritikal di sekitar Kuala Lumpur.”

Projek Percubaan Lorong Bas di Jalan Genting Kelang

Rapid Bus akan memulakan projek percubaan lorong bas di Jalan Genting Kelang bermula 15 November 2023 hingga 14 Februari 2024.

Lorong bas tersebut akan beroperasi pada waktu puncak pagi, iaitu dari jam 6:00 pagi sehingga jam 9:00 pagi, Isnin hingga Jumaat, dengan frekuensi 3 hingga 5 minit. Ini akan memberi manfaat kepada komuniti sekitar koridor Setapak dan Wangsa Maju yang ingin memasuki pusat bandaraya, dengan tambang berpatutan yang tidak melebihi RM2.50.

Lorong bas tersebut akan bermula dari Jalan Tumbuhan sehingga ke Bulatan Pahang dan akan melibatkan 47 buah bas dari lima (5) laluan, iaitu: –

  • 250 (Stesen LRT Wangsa Maju – Lebuh Ampang)
  • 200 (UIA Gombak – Monorail Chow Kit)
  • 202 (Hab Wira Damai – Lebuh Ampang melalui Gombak)
  • 251 (AU3 Jentayu – Chow Kit)
  • 254 (Ayer Panas – Titiwangsa melalui Chow Kit)

Komuniti sekitar Setapak dan Wangsa Maju boleh memanfaatkan kemudahan bas perantara laluan T250 (Stesen LRT Wangsa Maju – Platinum) atau perkhidmatan “Demand Responsive Transit” (DRT) di kawasan Wangsa Maju yang dikendalikan oleh Kumpool yang membawa komuniti ke Stesen LRT Wangsa Maju, dan meneruskan perjalanan mereka dengan menaiki laluan 250 ke Lebuh Ampang, melalui Hospital Kuala Lumpur (HKL).

“Dengan adanya lorong bas ini, perkhidmatan bas Rapid KL akan lebih lancar dan dijangka boleh menjimatkan masa perjalanan sehingga 20 minit jika dibandingkan dengan menggunakan kenderaan awam. Perkhidmatan bas di Jalan Genting Kelang ini juga menghubungkan para penumpang ke mod pengangkutan awam yang lain untuk ke destinasi akhir,” ujar En Yazurin.

Perjalanan para penumpang yang menggunakan perkhidmatan bas laluan di Jalan Genting Kelang ini tidak hanya terhad untuk ke destinasi di hentian-hentian bas ini sahaja. Mereka boleh meneruskan perjalanan lebih jauh dengan kesalinghubungan yang boleh mereka nikmati termasuk: –

  • Monorel Chow Kit: boleh meneruskan perjalanan ke KL Sentral atau Titiwangsa, dan seterusnya menaiki MRT Laluan Putrajaya untuk ke Putrajaya atau Kwasa Damansara, atau menaiki LRT Laluan Ampang/ Sri Petaling untuk Putra Heights, Ampang atau Sentul;
  • LRT Masjid Jamek: boleh meneruskan perjalanan ke Putra Heights, Ampang atau Sentul melalui LRT Laluan Ampang/ Sri Petaling, serta Putra Heights atau Gombak dengan menaiki LRT Laluan Kelana Jaya;
  • Titiwangsa juga menawarkan kesalinghubungan dengan perkhidmatan bas GoKL yang boleh membawa penumpang ke sekitar pusat bandaraya.

Projek Lorong Bas Jalan Ampang

Pada 15 November 2023 juga, lorong bas Jalan Ampang yang telah bermula pada Julai lalu akan mula beroperasi untuk waktu puncak petang, bermula jam 4.30 petang hingga 7.30 malam, dengan frekuensi setiap 3 hingga 5 minit. Lorong bas ini akan bermula dari persimpangan Jalan Tun Razak sehingga ke Jalan Rhu.

Ketika ianya dilancarkan, lorong bas di Jalan Ampang dari Jalan Rhu ke persimpangan Jalan Tun Razak hanya beroperasi pada waktu puncak pagi. Pelaksanaan lorong bas untuk waktu puncak petang akan menjadi pelengkap kepada projek lorong bas yang pertama tersebut.

“Semenjak dilancarkan, pihak kami telah mencatatkan peningkatan penumpang bas sebanyak 15% di koridor Ampang dari Jalan Rhu ke persimpangan Jalan Tun Razak bagi waktu puncak pagi. Dengan pelaksanaan lorong bas dari Jalan Tun Razak ke Jalan Rhu bagi waktu puncak petang ini dengan jangkaan penjimatan masa sehingga 20 minit, kami berharap manfaat kelancaran perkhidmatan dan penjimatan masa akan dapat terus menarik minat orang ramai untuk beralih menggunakan pengangkutan awam,” tambah En. Yazurin lagi.

Para pengguna boleh memuat turun aplikasi PULSE di Google Play dan App Store bagi merancang perjalanan, aplikasi Google Maps untuk mengetahui lokasi bas serta layari lamanweb rasmi Rapid KL di https://myrapid.com.my untuk maklumat terkini.

Language:

Search