Search
Close this search box.

_

RAPID BUS LANCARKAN “DEMAND RESPONSIVE TRANSIT” (DRT) BAHARU UNTUK LALUAN T785 DAN T783

Penumpang kini boleh menempah tempahan mengikut keperluan perjalanan mereka.

KUALA LUMPUR, 30 April 2024 – Berita baik buat penduduk di sekitar Taman Paramount dan Taman Bahagia! Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus), operator perkhidmatan bas henti-henti di Lembah Kelang akan melancarkan perkhidmatan “Demand Responsive Transit” (DRT) baharu bermula 2 Mei 2024 nanti.

Melibatkan dua (2) laluan iaitu T785 (LRT Taman Paramount – Kampung Baiduri/ Seksyen 51a Petaling Jaya) dan T783 (LRT Taman Bahagia – SS6, SS5 Kelana Jaya), perkhidmatan ini akan menggunakan van dan para penumpang boleh menempah perkhidmatan ini melalui aplikasi Kumpool.
Perkhidmatan ini, seperti yang telah diumumkan oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR) bulan lalu, adalah untuk menyediakan kesalinghubungan ‘first-last mile’ yang lebih mudah untuk para pengguna perkhidmatan bas menuju ke stesen LRT dengan lebih lancar.

Berbeza dengan perkhidmatan bas perantara, DRT ini menawarkan masa menunggu dan perjalanan yang lebih pendek dan para pengguna boleh merancang perjalanan dengan lebih mudah.

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Muhammad Yazurin Sallij menyatakan, “Kini pengguna bagi dua buah laluan ini dapat bergerak dengan lebih mudah melalui tempahan di hujung jari mengikut kesesuaian waktu dan keperluan perjalanan mereka”.

“Mod pengangkutan “on-demand” sebegini telah pun kami wujudkan sebelum ini di Wangsa Maju dan Setapak dan sambutan juga memberangsangkan. Seperti yang telah diluluskan oleh Kerajaan, kami akan melancarkan DRT di beberapa laluan lain bagi memberi kemudahan yang lebih efisien kepada para penumpang kami,” tambah beliau.

Rapid Bus akan menggunakan tempoh selama dua hingga empat minggu bermula 2 Mei ini untuk menganalisa permintaan penumpang, dan masa ini juga akan digunakan sebagai tempoh peralihan mod operasi bas kepada van DRT sepenuhnya.

Dengan tambang RM1.00 untuk setiap perjalanan, penumpang boleh membayar tambang menggunakan Pas Perjalanan Tanpa Had My50 serta kad Touch n’ Go, Pas Pas MyCity, Pas Famili, Kad Konsesi MyRapid, Pas Perjalanan Percuma OKU Smile atau secara tunai.

Perkhidmatan ini beroperasi setiap hari dari jam 6.00 pagi sehingga 11.30 malam. Selain itu, hentian yang tersedia juga lebih banyak dan tidak tertakluk kepada hentian bas laluan T785 dan T783 yang sedia ada di Taman Paramount dan Taman Bahagia. Perkhidmatan ini menawarkan masa perjalanan yang lebih singkat kerana ia tidak perlu melalui kesemua hentian sekiranya tiada tempahan.

Untuk maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan ini, para penumpang boleh melayari media sosial rasmi Rapid KL atau laman web: www.myrapid.com.my

Language:

Search