Search
Close this search box.

_

PERKHIDMATAN LRT LALUAN AMPANG/SRI PETALING: SASARAN 200,000 PURATA PENGGUNAAN HARIAN SELARAS PEMBUKAAN SEMULA LALUAN ANTARA STESEN MASJID JAMEK DAN STESEN BANDARAYA

KUALA LUMPUR, 17 Februari 2024 – Bermula hari ini, pengguna harian LRT Laluan Ampang/Sri Petaling boleh menikmati perjalanan yang lebih selesa dan mudah dengan pembukaan semula laluan di antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya pada jam 6.00 pagi tadi.

Selaras dengan itu, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail), selaku pengendali perkhidmatan LRT, menyasarkan purata penggunaan harian akan bertambah sehingga 200,000 menjelang penghujung tahun 2024 berbanding 155,000 sepanjang penutupan laluan tersebut.

Serentak dengan pembukaan semula laluan di antara kedua-dua stesen tersebut, kekerapan tren pada waktu puncak kembali normal dengan masa menunggu tiga minit bagi Daerah Pusat Perniagaan (CBD) dan enam minit di luar Daerah Pusat Perniagaan (non-CBD) dengan pengoperasian 37 buah tren.

Laluan di antara Stesen Masjid Jamek dan Stesen Bandaraya telah ditutup semenjak 27 Januari 2023 atas faktor keselamatan akibat kerosakan struktur jejambat dan landasan berhampiran Stesen Bandaraya.

Kerja-kerja membaik pulih kerosakan telah dimulakan pada 17 Mac 2023, melibatkan dua fasa merangkumi kerja-kerja menyokong jejambat di P163, P164 dan P165 serta mengembalikan struktur jejambat ke kedudukan asal.

Proses membaik pulih telah selesai sepenuhnya pada 30 Disember 2023 dan pemeriksaan serta pengesahan telah dilakukan oleh pihak jurutera perunding.

Sebagai mematuhi piawaian operasi serta bagi memastikan keselamatan dan kebolehpercayaan sistem rel, beberapa siri ujian dan pemantauan menyeluruh telah dilaksanakan bermula 1 Januari 2024 hingga 16 Februari 2024.

Pembukaan semula laluan tersebut dibuat setelah mendapat kelulusan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berdasarkan penilaian dan pemeriksaan yang dijalankan.

Dengan pembukaan semula laluan ini, Rapid Rail berharap pergerakan penumpang dipermudahkan, jumlah penumpang dapat dipertingkatkan dan aktiviti ekonomi disekitar laluan yang tersebut akan kembali rancak.

Pihak Rapid Rail ingin merakamkan penghargaan terima kasih kepada pengguna setia LRT di atas kesabaran dan sokongan berterusan ketika penutupan laluan ini.

Language:

Search