Search
Close this search box.

_

PERKHIDMATAN LRT LALUAN AMPANG/SRI PETALING: OPERASI NORMAL AKAN DISAMBUNG SEMULA PADA BULAN FEBRUARI 2024

KUALA LUMPUR, 27 September 2023 – Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali kepada perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling ingin memaklumkan bahawa kerja-kerja pembaikan menyeluruh (Fasa 2) struktur jejambat dan landasan berhampiran Stesen LRT Bandaraya dijangka siap dan operasi normal akan disambung semula pada 29 Februari 2024.

Perancangan asal bagi menyiapkan kerja-kerja pembaikan serta pengoperasian normal laluan tersebut adalah pada pertengahan bulan Oktober 2023.

Namun, penambahan masa tersebut adalah amat perlu kerana, selain daripada kerosakan asal pada jejambat 163, beberapa kerosakan lain telah dikesan pada struktur jejambat-jejambat yang berhampiran, iaitu jejambat 164 dan 165, yang memerlukan pembaikan yang menyeluruh.

Setelah mendapat pandangan dan nasihat daripada jurutera perunding, kerja-kerja tambahan perlu dilakukan pada struktur jejambat-jejambat tersebut bagi memastikan ianya selamat, mengikut spesifikasi dan dapat memenuhi kriteria pengoperasian normal.

Kerja-kerja pembaikan ini juga perlu melibatkan nasihat, penilaian serta kelulusan Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) Wilayah Persekutuan kerana pemasangan struktur sokongan harus dipasang di dalam Sungai Klang yang terletak bersebelahan jejambat LRT yang terlibat.

Pertimbangan keselamatan adalah keutamaan semua pihak yang terlibat dalam menjalankan kerja-kerja yang berisiko tinggi ini.

Kerja-kerja tambahan ini telah menyebabkan jangkamasa untuk kerja-kerja pemulihan dilanjutkan selama 3 bulan.

Pihak Rapid Rail ingin memohon maaf di atas kesulitan yang dialami oleh pengguna. Keputusan yang diambil bagi melanjutkan masa kerja-kerja pemulihan adalah untuk memastikan semua kerosakan dapat dikenalpasti dan dibaiki demi menjamin keselamatan operasi dan pengguna pengangkutan awam.

Language:

Search