Search
Close this search box.

_

PENYELARASAN WAKTU PUNCAK PERKHIDMATAN REL DAN BAS SEMPENA BULAN RAMADAN

  • Operasi waktu puncak bagi perkhidmatan rel dan bas (Lembah Klang dan Pulau Pinang) diselaraskan
  • Mini bazar Ramadan di stesen LRT terpilih memudahkan pengguna mendapatkan juadah berbuka puasa

KUALA LUMPUR, 11 MAC 2024 – Operasi waktu puncak pagi dan petang bagi perkhidmatan rel (LRT, MRT dan KL Monorel) dan bas kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan diselaraskan sepanjang bulan Ramadan tahun ini, iaitu bermula 12 Mac 2024.

Perubahan waktu puncak ini adalah untuk memudahkan perjalanan pengguna sepanjang bulan Ramadan, terutamanya bagi mereka yang ingin menuju ke destinasi masing-masing untuk berbuka puasa.

Waktu Puncak Operasi Rel

Operasi waktu puncak pagi akan ditambah 30 minit iaitu bermula jam 6.30 pagi sehingga 9.30 pagi berbanding waktu sekarang iaitu dari jam 7.00 pagi sehingga 9.30 pagi.

Manakala operasi pada waktu puncak petang ditambah satu jam tiga puluh minit bermula dari jam 4.00 petang sehingga 8.00 malam, berbanding 5.00 petang hingga 7.30 petang waktu sekarang.

Perjalanan pengguna akan menjadi lebih lancar dengan penambahan dan peningkatan kekerapan tren. Diharapkan dengan inisiatif ini, ianya akan menggalakkan orang awam untuk menggunakan pengangkutan awam sekali gus mengurangkan kesesakan jalanraya.

Waktu Puncak Operasi Bas

Bagi perkhidmatan Rapid Bus di Lembah Klang dan Pulau Pinang, termasuk bas-bas perantara MRT, operasi waktu puncak pagi adalah dari jam 6.30 pagi sehingga 9.30 pagi manakala waktu puncak petang adalah dari jam 4.00 petang sehingga 8.00 malam.

Operasi waktu puncak perkhidmatan Rapid Bus di Kuantan adalah seperti biasa.

Mini Bazar Ramadan dan Jualan Juadah Berbuka di Sekitar Stesen Rel

Bersempena bulan Ramadan, anak syarikat Prasarana iaitu Prasarana Integrated Development Sdn Bhd (PRIDE) akan membuka mini bazar Ramadan di tiga (3) stesen LRT terpilih iaitu Stesen LRT Pasar Seni, Stesen LRT Damai, dan Stesen LRT Ampang Park.

Terdapat juga jualan makanan dan minuman berkonsepkan grab and go di bazar rakyat sedia ada yang sesuai dijadikan juadah berbuka seperti di Stesen LRT Sri Rampai, Stesen LRT Taman Melati dan Stesen LRT Gombak.

Juadah ini akan mula dijual pada jam 3.30 petang hingga 7.30 malam. Kemudahan ini akan memberi peluang kepada pengguna untuk mendapatkan juadah berbuka puasa.

Dikesempatan ini, Prasarana ingin mengucapkan selamat menjalani ibadah berpuasa kepada seluruh muslimin dan muslimat. Semoga Ramadan tahun ini memberi lebih keberkatan dan mendidik kita menjadi insan yang lebih baik dari sebelum ini.

Language:

Search