Search
Close this search box.

_

PENGGUNA RAPID KL BAKAL NIKMATI PERJALANAN LEBIH LANCAR MELALUI INTEGRASI APLIKASI MYRAPID PULSE x AIRASIA MOVE

 Prasarana dan AirAsia MOVE Menjalin Kerjasama Strategik Untuk Perkukuh Perkhidmatan Pengangkutan Awam Bandar 

 KUALA LUMPUR, 22 Februari 2024 – Pengguna Rapid KL bakal menikmati perjalanan first-mile-last-mile (FMLM) yang lebih lancar dengan integrasi aplikasi perancang perjalanan MyRapid PULSE (PULSE) bersama perkhidmatan e-hailing AirAsia Ride. 

Kerjasama strategik di antara Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan AirAsia MOVE melalui anak syarikat mereka; Prasarana Integrated Development Sdn Bhd (PRIDE) dan AirAsia Ride adalah untuk meningkatkan pengalaman perjalanan dari pintu ke destinasi. 

Fa’izah Khairuddin, Ketua Pegawai Eksekutif PRIDE berkata, “Kami teruja untuk memeterai kerjasama ini dengan AirAsia MOVE yang dapat memanfaatkan perkhidmatan e-hailing AirAsia Ride sebagai penghubung destinasi akhir, sekali gus menyokong visi kami untuk mengutamakan keselesaan perjalanan harian pengguna pengangkutan awam. Kerjasama ini secara langsung dapat menghubungkan FMLM dan meningkatkan kecekapan serta memperbaiki ekosistem perjalanan yang lebih bersepadu. Inisiatif ini juga menyokong visi kerajaan untuk mencapai sasaran perkongsian mod pengangkutan awam sebanyak 40% menjelang 2030.” 

Di bawah kerjasama strategik ini, pengguna Rapid KL akan dapat menikmati rebat eksklusif RM2 bagi perkhidmatan e-hailing AirAsia Ride melalui 24 stesen LRT di bawah dengan mudah melalui aplikasi PULSE. Muat turun AirAsia Superapp hari ini dan mulakan perjalanan anda dengan AirAsia Ride.

Pengguna aplikasi PULSE baharu dan sedia ada layak mendapat rebat dua penebusan setiap hari dengan menggunakan kod promo yang unik bagi setiap stesen melalui stesen yang disenaraikan. 

Lim Chiew Shan, Ketua Pegawai Eksekutif Serantau AirAsia Ride, berkata, “Kami berbangga untuk berkongsi berita baik ini dengan pengguna PULSE dan AirAsia Ride. Sistem tren LRT telah membawa pengguna merentasi Lembah Klang lebih dari dua dekad. Kami berbesar hati untuk menjalin kerjasama dan menjadi penghubung FMLM dalam sistem pengangkutan awam di Lembah Klang. Para pengguna akan menikmati perjalanan yang lebih selamat serta penjimatan kos melalui stesen-stesen LRT terpilih.” 

Aplikasi PULSE menawarkan navigasi mesra pengguna yang membolehkan pengguna ke destinasi yang diingini dengan lebih pantas. Melalui aplikasi PULSE, pengguna akan dibawa ke AirAsia Superapp, dan terus mendapatkan anggaran tambang untuk perkhidmatan AirAsia Ride sekali gus memudahkan pengguna merancang perjalanan mereka. 

Fasa pertama kerjasama bersama AirAsia MOVE ini adalah sebahagian daripada rancangan Prasarana yang lebih besar untuk menyediakan ketersambungan yang lancar bagi pengguna perkhidmatan pengangkutan awam dan komitmen untuk memudahkan perjalanan setiap hari. Kajian dan pertimbangan lanjut akan dibuat sebelum melaksanakan program sebegini ke rangkaian rel dan bas yang lain. 

Language:

Search