Search
Close this search box.

_

News:Rapid KL Perkenal Pas Mycity Dua (2) Hari Dan Faedah Tambahan Kepada Semua Pengguna Pas MyCity

Pengenalan Pas Perjalanan Harian Tanpa Had – Pas MyCity Dua (2) Hari 

Kempen “Beli 1 Percuma 1” Pas MyCity Dua (2) Hari dan Tiga (3) Hari untuk pembelian atas talian melalui MyRapid PULSE 

Kempen satu (1) hari akses percuma kepada semua pengguna pas MyCity di ruang kerja bersama (co-working space) WORQ 

 KUALA LUMPUR, 13 Julai 2024 – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melalui jenama Rapid KL kini menawarkan pakej tambahan kepada Pas MyCity dengan pengenalan Pas MyCity Dua (2) Hari yang merupakan pas perjalanan harian tanpa had selama dua hari berturut-turut di kesemua laluan rel dan bas Rapid KL. 

Pengenalan pakej tambahan ini adalah sebahagian daripada komitmen memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pengguna dengan memperkenalkan tawaran terbaharu yang menarik. 

Pas MyCity Dua (2) Hari kini boleh didapati di semua Kaunter Khidmat Pelanggan LRT, MRT, Monorel, BRT atau di hab – hab bas terpilih dan secara atas talian menerusi aplikasi MyRapid PULSE bermula pada 12 Julai 2024. 

Harga dan senarai jenis pas MyCity adalah seperti yang berikut: – 

 Jenis Pas Warganegara (RM) Bukan Warganegara (RM) 
Pas MyCity 1 Hari RM 6.00 RM 10.00 
Pas MyCity 2 Hari RM 11.00 RM 18.00 
Pas MyCity 3 Hari RM 15.00 RM 25.00 

Harga yang dinyatakan di atas tidak termasuk harga kad Touch ‘n Go dan nilai minima dompet yang ditetapkan. 

Kempen “Beli 1 Percuma 1” 

Dalam usaha untuk menggalakkan pembelian secara atas talian, Rapid KL turut melancarkan kempen “Beli 1 Percuma 1” untuk Pas MyCity bagi pembelian Pas MyCity Dua (2) Hari dan Tiga (3) Hari sahaja. Tawaran istimewa ini hanya sah untuk pembelian melalui aplikasi MyRapid PULSE. 

Kempen Beli 1 Percuma 1 di aplikasi MyRapid PULSE ini berlangsung selama sembilan (9) hari bermula daripada 12 Julai sehingga 20 Julai 2024 dan tarikh penebusan bermula daripada 21 Julai sehingga 31 Julai 2024. 

Penebusan pas percuma hanya boleh dilakukan di stesen KL Sentral (Sayap Timur) bermula dari 21 – 31 Julai 2024, beroperasi dari 6.30 pagi – 2.30 petang & 3.30 petang – 10.30 malam. 

Kempen ini terbuka kepada semua pengguna Pas MyCity dua (2) hari dan tiga (3) hari bagi pengguna yang membuat pembelian menerusi aplikasi MyRapid PULSE sepanjang tempoh kempen berlangsung. 

Setelah pembelian dilakukan, pengguna haruslah mengimbas kod QR yang tersedia dan mengisi butiran yang diperlukan. Pas percuma ini adalah terhad kepada 200 penyertaan terawal dan akan dihantar melalui emel berdaftar kepada para pengguna terpilih.

Kolaborasi Dengan WORQ 

Di samping itu, Rapid KL juga berkolaborasi dengan Incompleteness Theorem Sdn Bhd melalui jenama WORQ, sebuah ruang kerja bersama (co-working space) popular untuk memberikan akses percuma selama satu (1) hari kepada semua pengguna Pas MyCity. 

Kempen ini bertujuan untuk memberikan kemudahan tambahan kepada para pengguna yang memerlukan ruang kerja yang selesa dan kondusif untuk bekerja dengan lebih efisien dan produktif. Cawangan ruang kerja bersama WORQ terlibat adalah seperti yang berikut: 

  1. WORQ TTDI 
  2. WORQ SUBANG 
  3. WORQ BANGSAR SOUTH 
  4. WORQ KL SENTRAL 
  5. WORQ BANGSAR 
  6. WORQ SUNWAY PUTRA 
  7. WORQ INTERMARK 

Pengguna Pas MyCity yang ingin menikmati faedah ini perlu mendaftar dengan mengimbas kod QR di poster kempen yang dipamerkan di stesen – stesen terpilih dan membawa resit asal sebagai bukti pembelian ke salah satu cawangan ruang kerja WORQ yang terlibat. Kempen ini akan berlangsung selama tiga (3) bulan bermula daripada 15 Julai sehingga 14 Oktober 2024. 

Dengan pelbagai tawaran menarik ini, Rapid KL berharap dapat menarik lebih ramai pengguna untuk memanfaatkan serta meningkatkan penggunaan pengangkutan awam di kalangan masyarakat serta memberikan nilai tambah kepada para pengguna. 

Jangan lepaskan peluang untuk menikmati perjalanan yang lebih mudah, selesa, dan menjimatkan dengan Pas MyCity! Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi atau media sosial Rapid KL, atau hubungi Talian Khidmat Pelanggan Rapid KL di talian 03 – 7885 2585.

Language:

Search