Search
Close this search box.

_

MMMSL JALANKAN SIMULASI 19 KES PERCUBAAN UNTUK PERSIAPAN OPERASI HAJI

MEKAH-Perkhidmatan rel Al Mashaeer Al Mugaddasah Metro Southern Line (MMMSL) – perkhidmatan rel khusus untuk kemudahan menunaikan ibadat haji di Tanah Suci Mekah, sudah bersedia untuk apa jua kemungkinan bagi memastikan perjalanan lancar untuk para jemaah yang bergantung kepada perkhidmatan berkenaan.

Dikendalikan oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), MMMSL telah menjalankan 19 jenis latihan simulasi sejak 16 Ogos lepas berdasarkan situasi-situasi kecemasan yang diminta oleh pihak berkuasa Arab Saudi untuk ia mengeluarkan permit operasi tahun ini.

Latihan simulasi yang terakhir telah diadakan semalam berhampiran dengan stesen Jamarat, yang melibatkan simulasi insiden kebakaran dan proses mengeluarkan dan menyelamatkan orang ramai daripada premis. Pada hari sebelumnya, latihan diadakan berdekatan dengan stesen Mudzalifah 1 bagi memindahkan penumpang daripada tren yang tergendala dalam empat senario perpindahan yang berbeza termasuk keluar ke platform kecemasan bertingkat.

“Alhamdulillah, kesemua kes percubaan atau ‘test case’ ini telah dilaksanakan seperti yang dikehendaki. Untuk kesemua 19 latihan simulasi ini, mereka dijalankan dengan dipantau oleh sekumpulan pemerhati bebas, yang akan mengemukakan pemerhatian mereka kepada pihak berkuasa Arab Saudi,” kata Pengarah Operasi MMMSL, Haji Muhammad Burhanordin Ismail dalam satu kenyataan hari ini.

Selain situasi tren berhenti secara tiba-tiba ketika perjalanan dan proses memindahkan para penumpang daripada tren ke tren serta yang menggunakan platform kecemasan, siri latihan simulasi berkenaan turut menguji kecekapan staf dan keupayaan dalam keadaan kegagalan dalam sistem komputer dan sistem isyarat, kebakaran di stesen, pintu tren yang gagal dibuka, gangguan bekalan elektrik, kecemasan dalam pergerakan jemaah dan juga mengendalikan pakej atau bungkusan barang yang mencurigakan.

Fadzreen Razak, Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Prasarana sedang memberikan taklimat sebelum sesi latihan bermula

Sesi latihan bermula di stesen Mudzalifah 2

Simulasi menyelamat “penumpang terkandas” di stesen Muzdalifah 2“Rata-rata, kami sudah bersedia. Secara amnya, prestasi kami dalam latihan-latihan ini adalah adalah lebih baik daripada yang telah dilakukan dalam ujian percubaan tahun lepas. Kami lebih bersedia tahun ini kerana mempunyai masa yang lebih panjang untuk membuat persiapan,” tambah beliau.

Kini menjalankan operasi percubaan atau ‘trial ops’ sejak 9 Julai lepas, latihan secara terus menerus 24 jam sehari akan berterusan sehingga 5 September ini sebelum operasi sebenar bermula pada 7 September.

Mengendalikan sehingga 350,000 penumpang sehari pada waktu puncak khususnya pada Hari Wukuf, MMMSL hanya beroperasi hanya untuk tempoh haji selama 7 hari bermula daripada tiga hari sebelum Hari Raya Aidil Adha pada 10 Zulhijjah setiap tahun.

Language:

Search