Search
Close this search box.

_

MENTERI PENGANGKUTAN TINJAU OPERASI LRT KELANA JAYA

KUALA LUMPUR, 1 Oktober – Menteri Pengangkutan Malaysia, YB Anthony Loke Siew Fook hari ini meluangkan masa daripada jadual ketat harian beliau untuk meninjau perkhidmatan Rapid KL LRT Laluan Kelana Jaya, yang mengendalikan hampir 300,000 penumpang sehari.

Program lawatan informal itu turut disertai oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, YB Dato’ Kamarudin Jaffar, Ketua Setiausaha kementerian, Dato’ Seri Hj Saripuddin Hj Kassim dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Encik Mohd Azharuddin Mat Sah.

Memulakan perjalanan daripada Stesen LRT Bukit Jalil, beliau bertukar ke Laluan LRT Kelana Jaya di stesen integrasi Masjid Jamek untuk menuju ke Stesen LRT Damai di mana YB Menteri disambut oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Dato’ Mohamed Hazlan Mohamed Hussain, yang diiringi oleh kedua-dua Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana, Encik Ang Yoke Kee dan Encik Muhammad Nizam Alias serta Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail, Tuan Haji Khairani Mohamed.

Di Stesen LRT Damai, YB Anthony dan delegasinya telah diberi taklimat mengenai kerja-kerja penyelenggaraan yang dijalankan di stesen berkenaan termasuk kerja-kerja penyelenggaraan ‘preventif’ untuk sistem isyarat bagi memastikan perjalanan lancar untuk para penumpang. 

Beliau kemudiannya pergi ke Kompleks Rapid Rail di Subang untuk melihat sendiri kerja-kerja di Pusat Kawalan Operasi, atau OCC sebelum mengadakan pertemuan tertutup dengan Dato’ Mohamed Hazlan dan para pegawai kanan Prasarana dan Rapid Rail yang lain.  

Ketika bercakap kepada pemberita, YB Anthony berkata beliau telah mengadakan perbincangan dengan pengurusan tertinggi Kumpulan Prasarana mengenai pelbagai inisiatif bagi memantapkan lagi perkhidmatan LRT untuk meningkatkan keselesaan dan kemudahan kepada para pengguna.  

Ini termasuk pemantapan Prosedur Kendalian Standard atau ‘SOP’ yang ada sekarang, pengoptimaan pergerakan tren pada waktu puncak dan pengenalan insentif-insentif untuk menggalakkan penggunaan LRT pada waktu luar puncak.

Language:

Search