Search
Close this search box.

_

KEMASKINI GANGGUAN LRT KELANA JAYA: LANGKAH TAMBAHAN MEMBANTU KAWAL KEADAAN

Rapid Rail Giatkan Usaha Membaikpulih Operasi

KUALA LUMPUR, 10 November 2022 – Langkah-langkah tambahan yang diambil oleh pihak Rapid KL telah digerakkan di stesen-stesen sepanjang Laluan LRT Kelana Jaya bagi membantu mengawal pergerakan serta memberi arah kepada penumpang-penumpang yang terjejas.

Penambahan perkhidmatan bas perantara bermula jam 6 pagi hari ini juga telah membantu mengurangkan kesesakan serta mengurangkan masa menunggu untuk menaiki bas.

Sejumlah 107 buah bas perantara, merangkumi lima (5) laluan, telah digunakan pada hari ini yang terdiri daripada bas-bas Rapid KL serta bas Smart Selangor dan MARA Liner.

Setakat jam 5.30 petang ini, situasi di stesen-stesen adalah terkawal, dibantu oleh anggota Polis Bantuan dan kakitangan Prasarana yang telah ditambah untuk memantapkan kawalan pergerakan penumpang.

Pasukan kejuruteraan Rapid Rail bersama pihak OEM Thales Group menjalankan ujian bagi menentukan kestabilan sistem.

Bermula jam 10 malam 9 November sehingga 5 pagi ini, pihak Rapid Rail telah menjalankan ujian pergerakan tren LRT Laluan Kelana Jaya di antara Stesen Ampang Park dan Stesen KLCC. Ujian ini akan dipanjangkan untuk merangkumi keseluruhan jajaran LRT Laluan Kelana Jaya.

Pihak Prasarana mengucapkan terima kasih kepada semua pengguna perkhidmatan awam diatas kesabaran menempuhi tempoh yang sangat mencabar ini.

Language:

Search