Search
Close this search box.

_

ISU KESESAKAN DI BEBERAPA STESEN REL RAPID KL PADA 31 OGOS 2022

KUALA LUMPUR, 31 Ogos 2022 – Beberapa stesen rel Rapid KL hari ini, terutama sekali di stesen-stesen pertukaran utama seperti Pasar Seni, telah mengalami situasi kesesakan bermula pagi ini. Ini adalah ekoran peningkatan luar biasa jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan rel untuk ke ibu kota bagi menyaksikan sambutan perayaan Hari Kebangsaan.

Menurut Rapid Rail Sdn Bhd, selaku pengendali perkhidmatan rel Rapid KL, “Berikutan keadaan di beberapa stesen yang mengalami situasi kesesakan yang teruk, kami telah mengambil tindakan segera bagi mengawal keadaan serta memastikan keselamatan pengguna perkhidmatan kami, termasuk menambah bilangan tren bagi mengurangkan kesesakan. Namun demikian, kami akui terdapat beberapa aspek yang perlu ditambah baik. Pihak Rapid Rail memohon maaf kepada semua penumpang yang terlibat diatas segala kesulitan yang dihadapi. Kami akan menilai semula sistem serta proses operasi kami agar situasi yang sama tidak berulang.”

Antara penambahbaikan segera yang dikenalpasti pihak Rapid Rail adalah memastikan mesin-mesin penjualan tiket dapat menerima wang kertas serta duit syiling; menambah bilangan pegawai stesen serta polis bantuan untuk mengawal kesesakan terutama sekali di waktu-waktu puncak; dan meningkatkan jumlah Duta Rel bagi membantu pengguna-pengguna di stesen.

Selain itu, pihak Rapid KL juga akan menilai kebolehlaksanaan perkhidmatan alternatif seperti Rapid KL Ekspres, satu perkhidmatan bas tanpa henti dari satu stesen ke stesen-stesen pertukaran utama.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada warga kota yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam. Kami mengalu-alukan maklumbalas daripada semua pihak untuk menambahbaik mutu kemudahan serta perkhidmatan kami,” tambah kenyataan itu.

Keadaan di stesen-stesen kembali pulih pada jam 3 petang dan kini terkawal.

Language:

Search