Search
Close this search box.

_

INSIDEN PENCEROBOHAN LANDASAN PUNCA KELEWATAN JADUAL PERJALANAN PERKHIDMATAN MRT LALUAN PUTRAJAYA

SUNGAI BESI, 14 Februari 2024 – Perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya telah mengalami kelewatan jadual perjalanan di antara Stesen Taman Naga dan Stesen Sungai Besi akibat daripada insiden pencerobohan landasan yang dilaporkan berlaku pada jam 4.56 pagi tadi.

Pihak Polis Bantuan telah mengesan suspek berada di kawasan landasan dan memaklumkan kepada pihak Pusat Kawalan Operasi (OCC). Bekalan kuasa segera dimatikan di kawasan terbabit bagi membolehkan Polis Bantuan dan petugas stesen masuk ke kawasan landasan untuk menangkap suspek. Pada jam 5.40 pagi, penceroboh telah berjaya dikesan dan mengalami kecederaan.

Pasukan penyelamat terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anggota perubatan telah tiba di Stesen Taman Naga Emas pada jam 6.30 pagi dan suspek telah berjaya dibawa keluar dari kawasan landasan pada jam 7.11 pagi tadi.

Pihak operasi telah mengaktifkan perkhidmatan rel alternatif dan bas perantara percuma disediakan di antara Stesen Kuchai dan Stesen Serdang Raya Utara bagi kemudahan penumpang meneruskan perjalanan ke destinasi.

Atas faktor keselamatan dan mengikut piawaian standard operasi (SOP), pihak Pusat Kawalan Operasi (OCC) perlu menjalankan pemeriksaan di kawasan tersebut sebelum bekalan kuasa diaktifkan semula.

Pada jam 7.36 pagi, perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya kembali pulih sepenuhnya dan jadual perjalanan diselaraskan secara berperingkat.

Rapid Rail memohon maaf di atas kelewatan dan kesulitan yang telah dialami oleh pengguna pada pagi ini.

Siasatan menyeluruh akan dijalankan bersama pihak berkuasa bagi menyiasat insiden pencerobohan ini agar langkah keselamatan dapat diperkemaskan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang lagi.

Language:

Search