KUALA LUMPUR, 9 Mac 2024 – Bersempena dengan Hari Wanita Antarabangsa 2024, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), selaku pengendali perkhidmatan pengangkutan awam Rapid KL, dengan usahasama Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), hari ini menganjurkan program Fit with Rapid KL 2.0 (FRKL2.0) dalam usaha membudayakan gaya hidup aktif dan sihat khususnya di kalangan wanita.
Yang Berhormat Dato’ Sri Hajah Nancy Binti Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dan En. Mohd Azharuddin Mat Sah, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana telah turut bersama di program tersebut yang menyaksikan penyertaan dari kalangan pengguna pengangkutan awam dan pengikut media sosial Rapid KL.
Selain mempromosikan aktiviti fizikal di samping mendorong penggunaan pengangkutan awam, FRKL2.0 yang bertemakan seni pertahankan diri ini turut menjurus kepada pemerkasaan wanita dengan menyuntik tips dan kemahiran sebagai lanjutan kepada kempen Anti-Gangguan Seksual (AGS) yang dijalankan di stesen-stesen rel kendalian Rapid KL.
Sebagai pengendali pengangkutan awam yang berkhidmat kepada lebih daripada sejuta penumpang setiap hari, Prasarana sentiasa menitikberatkan keselamatan dan keselesaan semua penumpang, agar pengangkutan awam dapat dijadikan sebahagian daripada gaya hidup warga kota.
Program FRKL2.0 ini merangkumi demonstrasi seni mempertahankan diri, sesi taklimat perlindungan diri wanita dan juga aktiviti fizikal Piloxing, satu senaman kecergasan dinamik oleh jurulatih bertauliah.
Program yang diadakan di Stesen MRT Kampung Batu ini turut mendapat kerjasama Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRTC), rakan utama Rapid KL dalam mempromosikan perkhidmatan pengangkutan awam yang mampan dan efisien.
Program Fit with Rapid KL adalah sebuah acara tahunan yang dianjurkan buat pertama kalinya pada tahun 2023 dan telah menerima sambutan yang sangat positif daripada penumpang serta pengikut media sosial Rapid KL.
Program tahun ini turut mendapat tajaan syarikat minuman terkemuka tempatan Hausboom, dan jenama penjagaan kulit utama tempatan Superskin.