Search
Close this search box.

_

ESKALATOR TERBAKAR DI JALAN AMPANG BUKAN DI BAWAH SELIAAN RAPID RAIL SDN BHD

KUALA LUMPUR, 7 Mac – Susulan kebakaran eskalator di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada awal pagi semalam, Rapid Rail Sdn Bhd ingin menjelaskan bahawa eskalator terbabit bukan di bawah seliaan Rapid Rail.

Ia susulan laporan dan gambar yang tular di media sosial mendakwa eskalator di Stesen LRT Ampang Park telah terbakar. Laporan yang kurang tepat ini telah menimbulkan kerisauan di kalangan pengguna LRT yang telah menghubungi pihak Rapid Rail sejak pagi tadi bagi mendapatkan penjelasan.

“Eskalator tersebut merupakan sebahagian daripada jejantas pejalan kaki yang digunakan oleh orang awam untuk menyeberangi Jalan Ampang. Ia bukan milik atau di bawah selenggaraan Rapid Rail.

Difahamkan semua pihak yang terlibat sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di bawah Kementerian Sumber Manusia serta pihak kontraktor bagi mengenalpasti punca kebakaran,” menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan Rapid Rail di sini hari ini.

Rapid Rail memberi jaminan bahawa ia akan mempertingkatkan langkah keselamatan di Stesen LRT Ampang Park bagi menjamin keselesaan para pengguna. Ia akan turut bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan pihak berkuasa untuk mencari kaedah alternatif supaya para pengguna dapat mengakses stesen LRT dengan mudah dan selamat.

Menurut kenyataan daripada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur, kebakaran tersebut berlaku pada jam 5.16 pagi dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Language:

Search