KUALA LUMPUR, 23 Mac – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), melalui anak syarikatnya, Prasarana Integrated Development Sdn Bhd (PRIDE), telah menjalinkan kerjasama dengan PERHEBAT dalam satu usaha serampang dua mata untuk menyuntik keceriaan di stesen LRT bagi meningkatkan pengalaman pelanggan dan menyokong veteran tentera meningkatkan tahap kehidupan mereka. Usaha ini juga merupakan salah satu initiatif dalam memartabatkan perusahaan mikro di arena perniagaan yang semakin mencabar selaras dengan agenda Keluarga Malaysia.
PERHEBAT, singkatan kepada Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera, memperkenalkan program VETERANIAGA Ruang Niaga @ Stesen LRT dengan menyediakan 145 ruang niaga di 21 stesen LRT terpilih dengan diskaun khas istimewa kepada veteran tentera khususnya mereka yang tinggal di Lembah Klang.
“Ini adalah program ‘menang-menang’, yang Prasarana harap untuk dikembangkan kepada persatuan-persatuan lain untuk menyemarakkan lagi aktiviti komersial dan pertumbuhan ekonomi di Lembah Klang, yang terjejas teruk ekoran penularan wabak Covid-19 sejak dua tahun lepas.
“Pihak kami amat berterima kasih kepada PERHEBAT atas kerjasama ini dan berharap veteran tentera akan mengambil peluang keemasan ini. Program ini adalah sumbangan Prasarana untuk membantu veteran tentera, yang telah banyak menabur bakti kepada negara di samping bagi menyemarakkan Industri Kecil dan Sederhana (SME),” menurut satu kenyataan media Prasarana hari ini.
Di bawah program itu, antara kiosk yang disediakan khusus untuk Veteran ATM seperti kiosk di Stesen Cempaka, Pandan Indah, Pandan Jaya, Bukit Jalil, Hang Tuah, Plaza Rakyat, Pudu, Maluri dan Bandar Tun Razak untuk Laluan Ampang/Sri Petaling dan stesen-stesen Bangsar, Gombak, Taman Melati, Wangsa Maju, Sri Rampai, Setiawangsa, Jelatek, Dato’ Keramat, Ampang Park, Dang Wangi dan Pasar Seni untuk Laluan Kelana Jaya.
Bersempena bulan puasa yang bermula bulan depan, Prasarana juga akan membuka kiosk-kiosk Bazaar Ramadhan sebagai satu lagi inisiatif untuk memantapkan pengalaman pelanggan yang menggunakan perkhidmatan rel kendaliannya.