Search
Close this search box.

_

STESEN LRT MASJID JAMEK LANJUT OPERASI PADA SABTU DAN AHAD INI

KUALA LUMPUR, 14 Disember – Bersempena majlis menonton perlawanan akhir pusingan kedua Piala AFF Suzuki 2018 di Dataran Merdeka pada Sabtu ini, Rapid KL akan melanjutkan perkhidmatan stesen LRT Masjid Jamek pada 15 dan 16 Disember sehingga jam 12.30 tengah malam.

Acara yang dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dijadual akan bermula pada jam 7.30 malam. Skrin gergasi disediakan bagi penyokong menyaksikan perlawanan akhir antara Malaysia dengan Vietnam. 

Manakala pada hari Ahad, 16 Disember, majlis meraikan skuad kebangsaan dan penghargaan kepada penyokong bola sepak akan berlangsung pada jam 7.30 malam. Dijangka ribuan penyokong bola sepak tanah air akan menghadiri majlis ini.

“Sebagai tanda sokongan kami kepada skuad Harimau Malaya, Rapid Rail selaku pengendali kepada operasi LRT dan MRT bersetuju untuk melanjutkan tempoh operasi sistem LRT Laluan Sri Petaling/ Ampang, LRT Laluan Kelana Jaya, dan MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang ke 12.30 tengah malam pada 15 dan 16 Disember 2018.

“Untuk itu, Stesen LRT Masjid Jamek akan dibuka sehingga 12.30 tengah malam untuk membenarkan para penumpang memasuki stesen dan meneruskan perjalanan mereka ke stesen-stesen LRT dan MRT yang lain. Walaupun ditutup, para penumpang boleh keluar di stesen-stesen berkenaan termasuk bertukar laluan di Stesen Masjid Jamek, Plaza Rakyat, Pasar Seni dan Maluri untuk bertukar laluan LRT Laluan Kelana Jaya dan MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang,” menurut satu kenyataan media Rapid Rail, sebuah anak syarikat Prasarana.

Language:

Search