Search
Close this search box.

_

SEMUA BAZAR RAMADAN KENDALIAN PRASARANA DI SELANGOR DITUTUP MULAI SABTU INI

KUALA LUMPUR, 6 Mei – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) ingin memaklumkan bahawa lima bazar Ramadan Rapid KL yang terletak di dalam Selangor akan ditutup mulai Sabtu (8 Mei) ini.

“Penutupan ini selaras dengan pengumuman yang dibuat oleh Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amirudin Shari berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), di enam daerah di Selangor,” menurut satu kenyataan Prasarana hari ini.

Menurut kenyataan itu, Bazar Ramadan Rapid KL yang mula beroperasi pada 13 April lalu merangkumi enam lokasi iaitu di stesen-stesen LRT Kelana Jaya, Glenmarie, Damai, Pandan Indah, Cempaka dan Putra Heights. Operasi bazar di stesen LRT Cempaka telah ditutup lebih awal pada 1 Mei selepas lokasi berkenaan tersenarai di dalam kawasan berisiko tinggi menerusi laporan yang dikeluarkan oleh Hotspot Identification by Dynamic Engagement (HIDE).

Bazar Ramadan di Stesen LRT Damai yang terletak di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akan beroperasi seperti biasa.

“Prasarana ingin mengucapkan terima kasih kepada pengujung dan peniaga yang telah memberikan sokongan atas inisiatif ini walaupun terpaksa mengharungi cabaran wabak Covid-19. Warga kota disaran terus mematuhi SOP walau di mana berada, seperti yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa bagi menjamin keselamatan semua,” tambah kenyataan itu.

Language:

Search