Search
Close this search box.

_

SAMBUNGAN PENUTUPAN 3 STESEN MRT UNTUK KERJA-KERJA MIGRASI

Kuala Lumpur, 9 Julai: Tiga stesen MRT Laluan Kajang (sebelum ini dikenali sebagai MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang) akan ditutup pada enam hujung minggu (Sabtu dan Ahad) dalam bulan Julai, Ogos dan September untuk kerja-kerja migrasi yang berkaitan dengan kerja pemindahan sebahagian daripada laluan tersebut ke MRT Laluan Putrajaya (sebelum ini dikenali sebagai MRT Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya).

Tiga stesen yang terlibat adalah Stesen MRT Sungai Buloh, Stesen MRT Kampung Selamat dan Stesen MRT Kwasa Damansara. Stesen KTM Sungai Buloh dan juga kemudahan tempat letak kereta bersebelahan dengan stesen tersebut tidak terjejas oleh penutupan ini.

Penutupan stesen-stesen tersebut akan berlaku pada tarikh berikut:
• 11 dan 12 Julai 2020
• 25 dan 26 Julai 2020
• 8 dan 9 Ogos 2020
• 22 dan 23 Ogos 2020
• 5 dan 6 September 2020
• 19 dan 20 September 2020

Dengan penutupan tiga stesen tersebut, tren MRT dari Kajang akan berakhir di Stesen MRT Kwasa Sentral. Sama seperti penutupan sebelum ini yang dijalankan pada tahun 2018 dan 2019, perkhidmatan gantian bas perantara percuma akan beroperasi di antara Stesen MRT Kwasa Sentral dan Stesen MRT Sungai Buloh, turut menyediakan perkhidmatan di Stesen MRT Kampung Selamat.

Bas perantara ini tidak akan berhenti di Stesen MRT Kwasa Damansara kerana tiada aktiviti komersial dan kawasan perumahan yang berdekatan dengan stesen tersebut. Tempat letak kereta di Stesen MRT Kwasa Damansara juga akan ditutup. Para pengguna yang biasanya meletakkan kereta di kemudahan tempat letak kereta di Stesen MRT Kwasa Damansara dinasihatkan supaya menggunakan kemudahan tempat letak kereta di Stesen MRT Kwasa Sentral atau di Stesen MRT Sungai Buloh.

Perkhidmatan bas perantara sedia ada dari Stesen MRT Sungai Buloh dan Stesen MRT Kampung Selamat akan beroperasi seperti biasa.
Pihak Rapid Rail and MRT Corp ingin meminta maaf atas kesulitan yang dialami oleh pengguna tren dan berharap kerja-kerja yang dilakukan ini adalah untuk menambah baik dan mengembangkan jaringan pengangkutan awam berasaskan rel di Lembah Kelang.

Untuk maklumat lanjut mengenai penutupan stesen-stesem tersebut, pmgguna tren boleh menghubungi RapiKL di 03-78852585 ataupun talian Hotline Projek MRT di 1800-82-6868.

Rapid Rail Sdn Bhd, sebuah subsidiari Prasarana Malaysia Berhad, merupakan pengendali MRT Laluan Kajang manakala MRT Corp adalah pemilik aset MRT Laluan Kajang dan juga pemilik dan pemaju projek MRT Laluan Putrajaya.

Language:

Search