Search
Close this search box.

_

RAPID RAIL BEKERJASAMA DENGAN PEMBEKAL BAGI MEMPERCEPATKAN PROSES PENGGANTIAN KOMPONEN BREK BAGI TREN LRT LALUAN KELANA JAYA

KUALA LUMPUR, 21 Mei – Susulan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya yang terjejas pada petang semalam, pihak Rapid Rail Sdn Bhd memaklumkan bahawa ia disebabkan oleh tren bernombor 62 yang terkandas di Stesen LRT KL Sentral.

Seramai 22,100 penumpang telah terjejas dalam insiden yang berlaku pada waktu puncak petang Jumaat, yang juga merupakan insiden kedua dalam masa dua minggu yang berlaku di Laluan Kelana Jaya di mana angkup brek tidak berfungsi ketika tren sedang beroperasi, menjadikan tren tidak selamat untuk meneruskan perjalanan.

Dalam satu kenyataan yang dikongsi oleh Rapid Rail di sidang media berkenaan insiden, Pusat Operasi Kawalan (OCC) mendapat notifikasi bahawa terdapat masalah brek pada tren 62 di Stesen LRT Pasar Seni pada pukul 4.36 petang.

Sebagai langkah keselamatan, pihak operasi memutuskan untuk mengeluarkan tren tersebut daripada perkhidmatan. Pegawai operasi telah meminta penumpang untuk mengosongkan tren dan menaiki tren yang lain di Stesen LRT Pasar Seni. Proses mengeluarkan tren daripada perkhidmatan dibuat dengan memandu secara manual dari Stesen LRT Pasar Seni ke trek poket berhampiran Stesen LRT Universiti.

“Walau bagaimanapun, ketika melepasi Stesen KL Sentral, sistem brek pada tren 62 telah mengalami kegagalan akibat kebocoran bendalir hidraulik yang menyebabkan tren diberhentikan kerana ia tidak lagi selamat untuk dipandu secara manual,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, En Amir Hamdan.

Selanjutnya, pihak OCC memutuskan bekalan kuasa bagi membolehkan jurutera dan juruteknik terlatih menjalankan kerja-kerja pemeriksaan ke atas tren. Sebagai alternatif kepada para pengguna, pihak operasi telah mengaktifkan pelan laluan altenatif menggunakan satu landasan antara Stesen LRT Bangsar ke Stesen LRT Pasar Seni. Perkhidmatan bas perantara percuma di antara Stesen LRT Bangsar, Stesen LRT KL Sentral dan Stesen LRT Pasar Seni turut disediakan bagi membawa penumpang yang terjejas. Perkhidmatan telah pulih sepenuhnya pada jam 6.36 petang apabila tren 62 berjaya dialihkan ke trek poket.

Dalam sesi lawatan ke bangunan penyelenggaraan, Rapid Rail berkongsi bahawa penggantian dan baik pulih sistem brek sedang dijalankan secara progresif bermula Oktober 2021 dan telah menjangkau tahap 39 peratus daripada keseluruhan armada tren 818 Innovia Mark II keluaran Bombadier. Ia dijangka siap sepenuhnya pada 30 November 2022.

“Kami di Rapid Rail sentiasa berusaha sedaya upaya dengan segala kepakaran yang ada bagi memastikan perkhidmatan rel kendalian kami berfungsi dengan lancar pada setiap masa tanpa sebarang gangguan. Seperti mana yang telah dimaklumkan sebelum ini, pihak kami sedang bekerjasama dengan pihak pembekal alat ganti untuk membantu mempercepatkan proses penggantian dan baik pulih.

Kami juga memohon maaf kepada semua penumpang yang telah mengalami kelewatan dan kesulitan untuk menuju destinasi masing-masing. Kami akan menempatkan lebih ramai kakitangan dan Polis Bantuan untuk membantu para penumpang yang terkandas di landasan dan memastikan mereka diberi latihan yang bersesuaian supaya mereka dapat menjalankan tugas dengan baik dan berhemah,“ tambah Amir.

Para penumpang diminta untuk mendapatkan informasi terkini mengenai perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya menerusi platform media sosial Rapid KL atau aplikasi perancang perjalanan Pulse by Prasarana. Sebarang status akan dikemaskini secara terus untuk memudahkan penumpang merancang perjalanan.

Mereka yang terlibat dengan insiden ini boleh mendapatkan kupon perjalanan sehala yang perlu ditebus dalam masa 5 hari daripada hari ini. Pengguna yang belum menuntut kupon ini boleh hadir ke mana-mana kaunter LRT Rapid KL bagi mendapatkan kupon tersebut.

Language:

Search