Search
Close this search box.

_

RAPID KL LANCAR PROJEK PERCUBAAN BAS PERANTARA LRT

SUBANG, 14 Oktober – Meneruskan inisiatif peningkatan dan pemantapan perkhidmatan demi keselesaan dan kemudahan warga kota, Rapid Bus – penyedia perkhidmatan bas awam Rapid KL di Kuala Lumpur dan Selangor – mengumumkan percubaan bagi perkhidmatan bas Perantara LRT Laluan T792 yang akan berjalan selama tiga bulan bermula esok (15 Oktober).

Projek eksperimen ini selaras dengan program transformasi perkhidmatan bas Rapid KL bagi menyediakan perkhidmatan berkelas dunia, yang bakal melihat Rapid Bus terus mengambil sikap pro-aktif dalam inisiatif-inisiatif Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bagi menjadikan perkhidmatan pengangkutan awam sebagai mod pilihan warga kota.

September lepas, Rapid Bus memperkenalkan projek percubaan tiga bulan untuk penggunaan bas midi untuk laluan Laluan T300 dan T304 di Ampang bagi memantapkan penyediaan ‘first mile connectivity’ di kawasan berkenaan.

“Wawasan kami di Rapid Bus adalah untuk menyediakan dan meningkatkan sambungan dan mobiliti untuk semua di Lembah Klang. Justeru itu, kami berharap inisiatif-inisiatif ini akan meletakkan kami ‘one step closer’ untuk merealisasikan wawasan ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, En. Muhammad Yazurin Sallij pada majlis berkenaan.

Turut hadir pada majlis yang diadakan di Hub Bus USJ itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Subang Jaya, YB Puan Michelle Ng Mei Sze, wakil daripada Majlis Perbandaran Subang Jaya dan Ketua Pegawai Operasi, Rapid Bus, En. Ku Jamil Zakaria.

Merakamkan ucapan penghargaan kepada YB Michelle, En. Muhammad Yazurin berkata sokongan padu daripada beliau dan komuniti Subang Jaya membolehkan projek berjalan dengan lancar. “Rapid Bus sememangnya sedang merancang untuk membuat percubaan bagi menambahbaik perkhidmatan bas Perantara LRT. Lanjutan dari perbincangan dengan pihak perunding dan wakil-wakil komuniti Subang Jaya yang telah dianjurkan oleh Yang Berhormat Michelle, kami dapati terdapat peluang ‘sinergi’ jika percubaan pertama ini dilaksanakan di Subang Jaya.

Berbeza dengan bas-bas Rapid KL yang lain, bas-bas yang akan digunakan bagi Laluan T792 akan menampilkan wajah baru atau ‘bus wrapping’ supaya orang ramai lebih mengenali perbezaan di antara bas Perantara LRT dan bas-bas lain.

“Penjenamaan semula bagi bas Perantara LRT sebenarnya diilhamkan dari kejayaan bas Perantara MRT yang telah dapat menarik perhatian penduduk di sekitar jajaran MRT. Dengan visualnya yang khusus untuk bas Perantara LRT, ia membolehkan pengguna mengenal pasti bas yang akan ke stesen LRT. Dengan itu, pengguna boleh menaiki bas ke stesen LRT yang terdekat dan menyambung perjalanan mereka dengan perkhidmatan rel. Lebih memudahkan jika pengguna menggunakan Pas Perjalanan Tanpa Had RM50 atau RM100 untuk perjalanan yang lancar dan hanya menggunakan satu mod pembayaran sahaja yang turut menawarkan penjimatan kepada pengguna,” kata En. Muhammad Yazurin.

Sepanjang tempoh tiga bulan perkhidmatan percubaan itu, Rapid Bus akan mengumpul dan menganalisis maklum balas serta data yang diperolehi. “Menerusi data tersebut, kami akan mengkaji pilihan yang sesuai untuk meningkatkan perkhidmatan bas Perantara LRT. Di samping itu, data ini juga akan membantu kami pada masa akan datang untuk menentukan konfigurasi ‘fleet’ bas dan kekerapan perkhidmatan bagi kawasan Subang Jaya dan juga Lembah Klang secara amnya,” tambah beliau.

Language:

Search