Search
Close this search box.

_

RAPID KL AKAN MENEBANG POKOK RISIKO TUMBANG DI LALUAN AMPANG

KUALA LUMPUR, 13 April – Pokok-pokok berisiko tumbang di sepanjang jajaran atas tanah (at grid) untuk Laluan Ampang/Sri Petaling akan ditebang dan dipangkas untuk mengurangkan kemungkinan insiden dahan dan pokok tumbang menghempap trek dan mengganggu perkhidmatan tren.


Memohon maaf atas gangguan perkhidmatan yang berlaku petang semalam, Rapid KL berkata sebanyak 20 hingga 25 pokok berisiko telah dikenalpasti untuk ditebang di sepanjang kawasan trek yang terletak di atas tanah (at grade) laluan berkenaan.
“Aktiviti penebangan pokok di dalam jajaran telah dijalankan oleh pihak Rapid KL mulai tahun 2019, di sekitar Stesen Maluri, Pandan Jaya, Chan Sow Lin dan Cheras. Ketika ini, lebih kurang 20 ke 25 batang pokok telah dikenalpasti untuk ditebang di sepanjang kawasan trek yang terletak di atas tanah (at grade). Pihak Rapid KL akan meneruskan kerja-kerja penebangan pokok ini sehingga selesai.

“Pihak Rapid KL juga akan bekerjasama dengan pihak ketiga yang terlibat seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang lain bagi pokok-pokok yang berada di luar jajaran. Rapid Rail akan bekerja rapat dengan semua yang berkenaan kerana keselamatan penumpang adalah prioriti kami,” menurut satu kenyataan media Rapid KL.

Dalam kejadian yang berlaku semalam, perkhidmatan LRT Laluan Ampang/ Sri Petaling semalam akibat hujan lebat beserta angin kencang dan ribut petir yang menyebabkan tidak kurang daripada 13 pokok tumbang dan menimpa trek laluannya sekitar Stesen Maluri, Pandan Jaya, Chan Sow Lin dan Cheras. Kesemua 13 pokok yang tumbang terletak di dalam jajaran Rapid KL.

Kejadian yang bermula pada jam 6.39 petang itu menyebabkan dua buah tren LRT terkandas di tengah-tengah landasan setelah ditimpa pokok yang tumbang berhampiran Stesen Maluri dan Cheras. Kerja-kerja menyelamat dan mengeluarkan penumpang yang terkandas terpaksa dilakukan secara berhati-hati akibat keadaan cuaca yang masih hujan renyai; menyebakan keadaan permukaan tanah licin dan berbecak di samping risiko panahan petir.

Seramai 1,150 penumpang telah berjaya dikeluarkan dengan selamat dari kedua-dua buah tren yang telah terkandas itu dan proses menyelamat telah selesai pada jam 10.20 malam.

Kerja-kerja pembersihan trek dan pemeriksaan bagi memastikan trek adalah selamat telah dilakukan sepanjang malam tadi. Siasatan lanjut akan dijalankan oleh pihak Rapid KL bagi mengenal pasti tahap kerosakan yang telah dialami oleh kedua-dua tren tersebut.

Ketika kejadian semalam, perkhidmatan tren masih beroperasi dari arah Stesen Sentul Timur sehingga ke Stesen Hang Tuah, dan dari arah Stesen Putra Heights sehingga ke Stesen Bukit Jalil. Para penumpang yang turun di Stesen Bukit Jalil perlu meneruskan perjalanan dengan menaiki “shuttle train” yang beroperasi sehingga Stesen Salak Selatan sahaja.

Selain itu, perkhidmatan bas perantara percuma turut disediakan dari Stesen Ampang sehingga Stesen Hang Tuah, dan penumpang boleh meneruskan perjalanan mereka daripada stesen tersebut.

Language:

Search