KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Rapid KL akan memberi kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan berhubung dengan insiden yang melibatkan bas Rapid KL berdekatan Taman Eko Rimba Kuala Lumpur di Jalan Raja Chulan pagi ini.
Dalam insiden pada 8.20 pagi itu, bas yang dalam perjalanan dari Hab Bas Pandan Indah ke pusat bandaraya itu terlanggar pembahagi jalan sebelum terlibat dalam insiden yang membabitkan tiga kenderaan persendirian. Dua pemandu kereta persendirian mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dengan ambulans untuk rawatan lanjut.
Enam penumpang berada dalam bas ketika insiden berkenaan. Tiada kecederaan dilaporkan.
Laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Trafik, Jalan Bandar dan punca kejadian masih dalam siasatan.