On the go and need some assistance? Call our Helpline:

_

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email

PRASARANA, WOW SUNTIK KECERIAAN AIDILFITRI UNTUK IBU TUNGGAL

SUBANG, 10 Mei – Ditinggalkan suami enam tahun lepas dan hidup sendirian di PPR Lembah Subang di sini, pesara Siti Aminah Saad merakamkan rasa syukur dan terima kasih kepada Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), yang bergandingan dengan pertubuhan bukan kerajaan, Women of Will (WoW) untuk menyampaikan sumbangan Hari Raya bagi menyuntik keceriaan Aidilfitri untuk golongan wanita kesempitan hidup di penempatan projek perumahan berkenaan.

“Terima kasih atas sumbangan. Dapatlah Kakak beraya lebih sikit tahun ini. Semoga Prasarana  dimurahkan rezeki dan datang lagi pada Raya depan untuk bagi lagi sumbangan kepada kami di sini,” kata bekas atenden Pusat Perubatan Universiti Malaya di Petaling Jaya, yang merupakan antara 70 penerima sumbangan di bawah program Tanggungjawab Sosial Korporat 2021 Prasarana.

Sementara 50 wanita seperti Puan Siti Aminah menerima sumbangan bekalan makanan dan duit raya daripada Timbalan Ketua Divisyen Komunikasi dan Pemasaran Strategik Kumpulan Prasarana, Cik Rafizah Amran, 20 yang lain menerima sumbangan telefon pintar khusus untuk mereka yang menyara kehidupan dengan berniaga.

Bercerita tentang nasib yang menimpa beliau, Puan Siti Aminah, yang kini hidup dengan wang pencen bulanannya, berkata beliau dan suaminya terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Puchong dan kedua-dua mereka dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan. Suaminya dimasukkan dalam wad untuk rawatan lanjut sementara beliau, yang mengalami kecederaan di kaki, dibenarkan pulang.

“Tapi, suami saya terus hilang selepas itu. Dia keluar hospital dan terus hilang tidak dapat dicari. Entah ke mana, saya tidak tahu. Saya redho dengan ketentuan Ilahi. Nasib baik saya ada pencen untuk tampung perbelanjaan,” kata Puan Siti Aminah, yang percaya suaminya, yang merupakan seorang duda, telah diambil oleh anak-anak beliau.

Menerima sumbangan telefon pintar, tukang urut Puan Noriza Mamat, yang juga seorang ibu tunggal yang ditinggalkan suami sejak 13 tahun lepas, berharap akan mendapat lebih banyak tempahan urut dengan memiliki telefon baru itu.

“Saya kerja ambil upah mengurut wanita selepas pantang dan urutan terepeutik. Orang memesan secara online dan panggilan telefon. Jadi, mudahlah lagi kerja saya. Terima kasih Prasarana,” tambah Puan Noriza, yang ditinggalkan suami ketika anak bongsu berusia setahun.

Berucap pada majlis yang diadakan di Dewan Komuniti PPR Lembah Subang, Rafizah berkata pemilihan kawasan penempatan berkenaan adalah kerana kedudukannya yang berdekatan dengan Stesen LRT Lembah Subang dan jalinan perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana.

“Terima kasih atas sokongan anda. Harapan kami agar anda semua terus menggunakan perkhidmatan bas dan tren Rapid KL,” kata Rafizah, yang turut merakamkan penghargaan kepada WoW atas sokongan mereka menjayakan program CSR itu.

Program CSR 2021 Kumpulan Prasarana bermula dengan sumbangan makanan kepada staf Hospital Besar Sungai Buloh pada bulan Januari sebelum disusuli dengan sumbangan makanan bersempena sambutan Tahun Baru Cina melalui jalinan kerjasama dengan tokoh kebajikan, ‘Uncle Kentang’ pada bulan Februari. Bersempena bulan Ramadan pula, Prasarana menganjurkan program ‘Singgah Sahur’ untuk pengedaran makanan kepada anggota barisan hadapan daripada pasukan polis, bomba dan petugas Hospital Besar Serdang; dan juga juadah berbuka puasa kepada para petugas di Wisma Berita RTM.