KUALA LUMPUR, 22 Mac – Selaras dengan negara memasuki Fasa ‘Peralihan Ke Endemik’ dan pembukaan semula sempadan mulai 1 April ini, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) akan membuat pelarasan semula terhadap jadual kekerapan perkhidmatan tren dan bas kendaliannya di Lembah Klang mulai bulan depan bagi memastikan perkhidmatan yang selesa, selamat dan lancar untuk para penggunanya.
Menjangkakan rutin harian menjadi lebih rancak dan aktiviti komersial di kalangan warga kota akan meningkat dengan peralihan itu, Prasarana, yang mengendalikan perkhidmatan rel dan bas Rapid KL, akan meningkatkan kekerapan bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik sebagai sokongan kepada perubahan berkenaan.
“Sebagai pengendali perkhidmatan pengangkutan awam utama di Lembah Klang, Prasarana komited untuk memberikan sokongan penuh kepada usaha-usaha kerajaan membantu rakyat membina semula kehidupan mereka selepas terjejas teruk ekoran penularan pandemik Covid- 19 pada awal tahun 2020.
“Perkhidmatan rel bandar dan bas henti-henti yang disediakan oleh Prasarana untuk rakyat di Lembah Klang adalah mod terpenting untuk menggerakkan aktiviti-aktiviti perniagaan dan pertumbuhan ekonomi di samping menjalankan pelbagai rutin harian lain seperti bersekolah, berekreasi, bersosial dan menjamu selera,” menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan Prasarana hari ini.
Melalui pelarasan berkenaan, perkhidmatan rel akan meningkatkan kekerapan tren untuk kesemua laluannya iaitu Laluan Kelana Jaya, Laluan Ampang/Sri Petaling, Laluan Kajang dan Laluan Monorel Kuala Lumpur berdasarkan kesesuaian masa, hari dan kawasan sama ada berada dalam zon pusat bandar atau ‘Central Business District (CBD).
“Untuk keselesaan penumpang, Prasarana telah memanjangkan waktu puncak petang dari pukul 5 petang hingga 7.30 malam; berbanding pukul 5 petang hingga 7 malam sebelum ini. Di samping itu, Prasarana mempunyai kapasiti untuk menyuntik tren tambahan ke dalam perkhidmatan apabila keadaan memerlukan,” tambah kenyataan itu.
Bagi menampung jumlah penumpang yang dijangka bertambah mulai 1 April ini, 50 unit bas akan ditambah dalam jadual operasi harian bas Rapid KL bagi memastikan masa menunggu penumpang tidak terlalu lama. Perkhidmatan BRT Laluan Sunway juga akan diselaraskan; selari dengan perkhidmatan rel Rapid KL.
“Pihak Rapid Bus akan memantau jumlah penumpang dari masa ke semasa, dan jika perlu, kami akan melakukan penambahbaikan lagi kepada operasi harian kami,” tambah kenyataan berkenaan.
Ketika mengumumkan ‘Fasa Peralihan ke Endemik’, Perdana Menteri, Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan had waktu beroperasi bagi premis perniagaan dimansuhkan mulai tarikh yang sama, sekali gus membolehkan pemilik premis melaksanakan waktu operasi premis masing-masing mengikut syarat lesen operasi premis.
Fasa peralihan ini, kata Perdana Menteri, adalah ‘exit strategy’ (strategi keluar daripada pandemik) untuk membolehkan rakyat Malaysia kembali semula kepada kehidupan yang hampir normal.
Dalam kenyataan hari ini, Prasarana turut menasihatkan pada pengguna untuk memuat-turun aplikasi PULSE bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai perkhidmatan Rapid KL.
Mereka juga boleh mendapat butiran penuh mengenai perkhidmatan termasuk jadual kekerapan baru ini melalui saluran-saluran media sosial Rapid KL lain seperti Twitter dan Facebook.