KUALA LUMPUR, 25 Julai – Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA) selaku operator kepada perkhidmatan rel dan bas utama negara menyasarkan sifar kemalangan di semua premis dan perkhidmatan kendaliannya. Sasaran ini harus disokong dan dipikul bersama hampir 9,000 warga kerja Prasarana bagi memastikan keselamatan, kesihatan kakitangan dan penumpang Prasarana berada pada tahap yang cemerlang.
Bagi merealisasikan hasrat tersebut, Prasarana melancarkan Minggu Kesihatan, Keselamatan Pekerjaan dan Alam Sekitar 2022 yang bermula pada 25 Julai sehingga 31 Julai 2022. Beberapa akvititi telah disusun bagi menjayakan kempen ini antaranya
- Hari Alam Sekitar – 26 Julai 2022
- Hari Keselamatan Pekerjaan – 27 Julai 2022
- Hari Kesihatan – 28 Julai 2022
- Hari Sekuriti – 29 Julai 2022
- Larian BRT – 31 Julai 2022
Majlis pelancaran kempen ini telah diadakan di Terminal KL Sentral dan disempurnakan oleh YB Datuk Haji Awang Hashim, Timbalan Menteri Sumber Manusia yang juga merangkap Pengerusi Majlis Negara bagi keselamatan dan kesihatan.
Objektif utama kempen ini adalah untuk meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan, kesihatan dan alam sekitar serta menambah baik mutu perkhidmatan Prasarana.
Selain itu, kempen ini diharap dapat meningkatkan kepercayaan dan keyakinan orang awam dalam menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh Kumpulan Prasarana.
Prasarana berharap dengan adanya kempen seperti ini dapat memberi pendedahan dan pemahaman yang lebih kepada kakitangan dalam mematuhi dan mencapai budaya kerja selamat di tempat kerja.
Persekitaran tempat kerja yang selesa dan selamat akan mempengaruhi minda pekerja selain memberi suntikan semangat positif kepada kakitangan. Selain itu, ruang tempat kerja yang kondusif dapat membantu mengurangkan kes kemalangan di pejabat.
Pengguna pengangkutan awam akan lebih yakin dan selesa sekiranya perkhidmatan yang disediakan seperti di stesen-stesen LRT atau MRT senantiasa dalam keadaan bersih, selamat dari sebarang gangguan atau jenayah.
Selain itu, Prasarana tidak ketinggalan menyahut seruan kerajaan dalam menjadikan bandaraya Kuala Lumpur bebas karbon pada tahun 2050 dan kempen ini turut menitik beratkan kepentingan menjaga alam sekitar. Misalnya kempen menghijaukan stesen LRT dengan menggunapakai semula tanah-tanah terbiar di stesen dengan menanam pokok. Kempen ini bagi memberi kesedaran dan memupuk semangat cintakan alam sekitar dikalangan kakitangan dan penumpang LRT.