Prasarana telah berjaya menggondol Anugerah Utama “The Malaysia HR Awards 2017” bagi kategori Majikan Pilihan “Employer of Choice”. Sebanyak 15 syarikat telah disenaraipendek ke peringkat akhir setelah melalui dua peringkat saringan serta pembentangan kertas kerja di National Seminar on HR Best Practices 2017 yang telah diadakan di Aloft Hotel, Kuala Lumpur.
Penantian penuh debaran bagi semua syarikat finalis berakhir dengan penuh bermakna sebaik sahaja detik Prasarana diumumkan sebagai pemenang bagi Anugerah Utama Majikan Pilihan “Employer of Choice” pada Majlis Makan Malam “The Malaysia HR Awards 2017”. Piala Anugerah Utama tersebut telah disampaikan oleh Presiden, Malaysian Institute of Human Resource (MIHRM) Encik Aresandiran. J. Naidu kepada Ketua Pegawai Modal Insan Kumpulan Prasarana, Encik Abdul Mutallif Manaf.
“The Malaysia HR Awards” yang dianjurkan oleh Malaysian Institute of Human Resource Management (MIHRM) sejak tahun 1999 merupakan suatu pertandingan berprestij di peringkat kebangsaan serta antarabangsa yang menggabungkan kesemua pemain industri utama di negara ini. Anugerah yang dinaungi oleh Menteri Sumber Manusia ini bertujuan untuk melonjak dan mengkitiraf modal insan dalam usaha penerapan strategi dan pengurusan bagi mencapai kecemerlangan organisasi.
Kemenangan ini membuktikan Prasarana sebagai Majikan Pilihan ‘The Employer of Choice” sekaligus akan menarik lebih ramai lagi para lepasan graduan serta golongan professional untuk menjadi sebahagian daripada wargakerja Kumpulan Prasarana.
Anugerah ini merupakan kejayaan kedua bagi Kumpulan Prasarana setelah turut dinobatkan sebagai pemenang “The Asia HRD Awards 2017” bagi kategori ‘Contribution To Organisation” pada bulan Ogos lalu.