Eksplorasi Merdeka Rapid KL 2.0 Disertai Hampir 800 Orang Peserta
KUALA LUMPUR, 31 Ogos 2023 – Bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan 2023, Prasarana Malaysia Berhad (“Prasarana”) telah menganjurkan Eksplorasi Merdeka Rapid KL 2.0 (“EMRKL 2.0”). Acara berasaskan explorace tersebut telah mendapat penyertaan daripada 772 peserta yang membentuk 202 buah kumpulan.
Penganjuran EMRKL 2.0 bertujuan memupuk semangat perpaduan serta meraikan kepelbagaian budaya, selari dengan tema sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini, Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan.
Pelbagai aktiviti serta misi menarik yang diselitkan dengan tema kemerdekaan dan budaya perlu diselesaikan oleh para peserta di lokasi-lokasi dan checkpoint tertentu di sepanjang rangkaian rel dan bas Rapid KL di sekitar bandaraya Kuala Lumpur.
Misi yang ditugaskan memerlukan pemikiran aras tinggi dan kreativiti bagi membolehkan mereka menyelesaikan misi sehingga ke garisan penamat.
Menteri Belia dan Sukan YB Hannah Yeoh telah turut hadir ke majlis pelepasan peserta. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, En Mohd Azharuddin Mat Sah telah merasmikan acara tersebut dan sekaligus bersama-sama dengan barisan penaja dalam pelepasan peserta di Stesen LRT Bukit Jalil.
Bagi menjayakan EMRKL 2.0 ini, Prasarana telah menjalin kerjasama dan berkolaborasi dengan beberapa pihak termasuk Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), O’Briens Irish Sandwich, Hausboom, dan Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp) Sdn. Bhd.
PSM selaku badan yang menguruskan Kuala Lumpur Sports City (KLSC) atau sebelum ini dikenali sebagai Kompleks Sukan Negara yang juga merupakan penaja rasmi telah menyambut ulang tahun yang ke-25 pada Julai tahun ini.
Pemenang utama EMRKL 2.0 membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM4,000, manakala Naib Johan membawa pulang RM2,500 dan pemenang ketiga, RM1,500.
Selain itu, seramai 17 orang peserta berjaya mendapat hadiah saguhati bernilai antara RM100 hingga RM200 sementara 24 orang peserta berjaya meraih pelbagai hadiah menarik dalam cabutan bertuah.
Tahun ini adalah kali kedua EMRKL ini dijalankan. Kali pertama ianya dijalankan adalah pada tahun lepas yang menyaksikan penyertaan daripada 200 peserta yang membentuk 50 buah kumpulan.
Di acara EMRKL hari ini, turut diadakan tayangan perdana video Merdeka Prasarana. Bertemakan perpaduan, kepelbagaian dan pemerkasaan, video Merdeka pada tahun ini turut mengetengahkan mesej dedikasi dan keprihatinan warga Prasarana dalam memastikan ketersediaan perkhidmatan pengangkutan awam kepada pengguna pengangkutan awam.