KUALA LUMPUR, 22 November – Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan Pas ‘Keluarga Malaysia’ oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sebagai satu lagi inisiatif bagi menggalakkan lagi orang ramai menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.
Bakal dijual pada 1 Disember ini, pas perjalanan ini membolehkan setiap keluarga warganegara Malaysia seramai empat orang di dalam satu kumpulan menikmati perjalanan satu hari tanpa had menggunakan perkhidmatan LRT, MRT, Monorel dan Bas Rapid Transit – Laluan Sunway (BRT) pada hari Sabtu, Ahad dan hari cuti umum.
Majlis pelancaran di hab pengangkutan awam KL Sentral turut dihadiri oleh Menteri Pengangkutan, Dato’ Sri Ir Dr Wee Ka Siong; Menteri Kewangan Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Sri Dr Shahidan Kassim, DAN Pengerusi Prasarana, Tan Sri Jamaludin Ibrahim.
Boleh dibeli di mana-mana stesen LRT, MRT, monorel dan BRT pada harga RM15 untuk pakej empat orang, Prasarana berharap pengenalan pas ‘Keluarga Malaysia’ dapat menggalakkan warga negara Malaysia beriadah bersama-sama sambil berbelanja di pusat-pusat membeli belah yang terdapat di sekitar jaringan pengangkutan awam di Lembah Klang dan Selangor.
Ia juga diharap dapat menggalakkan pelancong domestik untuk menggunakan pengangkutan awam serta melawat tempat-tempat menarik di sekitar Lembah Klang, selain membantu menaikkan semula ekonomi peniaga kecil di sekitar pusat bandar; selaras dengan inisiatif ‘Rapid KL Supports #Keluarga Malaysia’, yang turut diumumkan pada majlis berkenaan.
Di bawah program ini, Kumpulan Prasarana menerusi Divisyen Komunikasi Strategik dan Pemasaran menggunakan platform-platform media sosial kendaliannya untuk mempromosikan produk peniaga-peniaga berasaskan makanan di sepanjang laluan pengangkutan kendalian Rapid KL termasuk di hab-hab bas.
Selain memberi sokongan dengan membeli produk-produk berkenaan, Prasarana turut mencipta kandungan media sosial agar liputan percuma dan promosi secara agresif dapat diberikan kepada peniaga – peniaga berkenaan. Mereka turut dibimbing dan diberi bantuan kepakaran dari segi pemasaran, promosi dan penjualan atas talian supaya perniagaan boleh berkembang dengan baik dan menularkan produk mereka sekaligus meningkatkan hasil jualan.
Berucap pada majlis berkenaan, Tan Sri Jamaludin mengumumkan inisiatif terbaru Prasarana bagi membantu merancakkan ekonomi dan memperkasakan industri kecil dan sederhana. Menerusi anak syarikatnya Prasarana Integrated Development Sdn Bhd atau PRIDE, Prasarana akan memperkenalkan ‘Pakej Transit untuk Pengusaha Industri Kecil dan Sederhana’.
“Butiran lanjut tentang pakej ini akan diwar-warkan dalam masa terdekat, dengan jangkaan pengoperasian mulai bulan Mac 2022,” kata Tan Sri Jamaludin, yang turut mengulangi komitmen Prasarana untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam berkelas dunia untuk rakyat.
“Sektor pengangkutan awam adalah wadah dan wajah Keluarga Malaysia, di mana ciri-ciri Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran yang kita miliki dapat dipupuk, disemai dan dipertahankan. Untuk pengetahuan hadirin, liveri istimewa Keluarga Malaysia ini menampilkan pelbagai bangsa dan profesyen kerja; di mana kesemuanya merupakan penumpang sebenar, peniaga kecil dan staf yang menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana,” katanya.
Beliau berkata dalam usaha Prasarana untuk menjadi antara operator pengangkutan awam terbaik di dunia, ia telah menggariskan enam tunjang strategik yang merangkumi keboleharapan perkhidmatan; kesihatan, keselamatan dan alam sekitar; kecekapan perkhidmatan dan kepuasan pengguna; persefahaman rakan niaga; digitalisasi dan inovasi; serta kelestarian.
Tan Sri Jamaludin, yang berpengalaman luas dalam sektor korporat, turut menyatakan bahawa Prasarana akan menerokai sektor komersial dengan lebih meluas dengan memperkenalkan pelbagai produk dan perkhidmatan baru yang berbentuk lebih fleksibel dan menjimatkan seperti Pas ‘Keluarga Malaysia’.
Prasarana turut memperagakan liveri istimewa tren Laluan Kelana Jaya yang menampilkan imej khas ‘Keluarga Malaysia’ dan digunakan oleh Dato’ Sri Ismail Sabri dan para jemputan lain untuk tiba ke Stesen KL Sentral. Selain tren Bombardier Innovia Metro 300 itu, Prasarana turut membuat promosi yang sama pada dua bas Rapid KL bagi menyatakan sokongan kepada kempen anjuran Kerajaan itu.