On the go and need some assistance? Call our Helpline:

_

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email

PRASARANA BUKA PUSAT PEMBERIAN VAKSIN (PPV) DI STESEN LRT PUTRA HEIGHTS DAN KOMPLEKS RAPID BUS CHERAS SELATAN

SUBANG JAYA, 19 JULAI 2021 – Dua aset milik Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) iaitu Stesen LRT Putra Heights dan Kompleks Rapid Bus Cheras Selatan di Balakong telah diluluskan sebagai fasiliti Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sebagai menyokong program immunisasi nasional untuk pencegahan kepada wabak Covid-19.

Fasiliti di Stesen LRT Putra Heights, yang merupakan stesen integrasi Laluan LRT Kelana Jaya dan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, beroperasi mulai 19 Julai manakala PPV di kompleks yang menjadi ibu pejabat korporat Rapid Bus Sdn. Bhd., akan mula dibuka dua hari kemudian pada 21 Julai.

Menteri Pengangkutan Malaysia, Yang Berhormat Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong menyifatkan pembukaan PPV ini melengkapkan pemberian vaksin bagi sektor pengangkutan sebagai antara perkhidmatan perlu (essential services) bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat selain memastikan pergerakan barangan dan penumpang tidak terjejas.

“Para petugas perkhidmatan rel dan bas tetap memainkan peranan penting mereka demi manfaat rakyat walaupun berdepan risiko jangkitan COVID-19. Justeru itu, mempercepatkan vaksinasi kepada barisan hadapan ini adalah langkah proaktif yang diambil Kementerian Pengangkutan dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) demi melindungi para petugas serta penumpang mereka,” katanya.

Dibuka dari pukul 8 pagi hingga 4 petang untuk petugas perkhidmatan pengangkutan awam dari Prasarana, MRT Corp dan Kementerian Pengangkutan, PPV di Stesen LRT Putra Heights akan beroperasi selama lima hari sehingga 23 Julai; manakala pusat di Kompleks Bas Rapid Bus Cheras Selatan akan dibuka selama enam hari sehingga 26 Julai untuk urusan pemberian dos pertama.

Menurut satu kenyataan media Prasarana, langkah pembukaan kedua-dua pusat vaksinisasi itu dibuat selepas Prasarana mendapat kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan dan Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), yang membuat tinjauan dan pemeriksaan terhadap kedua-dua aset pengangkutan awam itu pada 11 Julai.

Kedua-dua premis dipilih kerana lokasi yang strategik serta mempunyai ruang yang luas dan selesa, sesuai dengan keperluan yang digariskan oleh CITF. Lebih kurang 4,000 jam masa kerja (manhour) digunakan untuk menyiapkan kedua-dua pusat, dengan Prasarana memperuntukan sebanyak RM350,000 bagi menampung kos keseluruhan program vaksinasi ini.

Stesen LRT Putra Heights akan menggunakan ruang terbuka dan bilik-bilik latihan di tingkat bawah stesen berkenaan; manakala Kompleks Rapid Bus Cheras Selatan, yang turut menempatkan Akademi Bas Rapid Bus dan Depoh Cheras Selatan, akan menggunakan Dewan Utama untuk urusan berkenaan.

Selain tempat, seramai enam puluh (60) orang staf termasuk pelatih Polis Bantuan Prasarana akan turun padang setiap hari untuk bertugas sebagai sukarelawan di bagi membantu kerjakerja kawalan pergerakan penerima vaksin, logistik dan pendaftaran.

“Prasarana berasa bangga diberi peluang melaksananakan program vaksinasi nasional ini kerana ia adalah agenda terpenting sekarang untuk proses pemulihan negara. Kami berharap sumbangan kami akan memberikan impak yang besar untuk kejayaan program ini; sekali gus membantu menamatkan ancaman penularan wabak Covid-19 ini,” tambah kenyataan itu.

Berpegang kepada keyakinan bahawa kunci kepada kejayaan untuk Pelan Pemulihan Negara adalah dengan mempercepatkan proses vaksinasi nasional kepada rakyat, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) turut menawarkan penggunaan aset-asetnya untuk menjadi pemacu kepada program imunisasi berkenaan khususnya di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Pahang. Prasarana terbuka kepada perbincangan untuk menjadikan bas-bas miliknya termasuk di Pulau Pinang dan Pahang sebagai pusat-pusat vaksinasi bergerak untuk memudahkan pengambilan vaksinasi di kalangan rakyat.

Prasarana turut merakamkan ucapan terima kasih atas kerjasama, kelulusan dan sokongan padu dari Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) dan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth).