• Sebanyak 13,892 ruang parkir stesen tersedia.
• Sila gunakan kad Touch ‘n Go bagi memudahkan perjalanan.
KUALA LUMPUR, 6 Januari 2023 – Menjelang perlawanan separuh akhir Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 pada Sabtu ini (7 Januari 2023), pihak Rapid Rail mengumumkan operasi Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bukit Jalil akan dilanjutkan sehingga jam 12.30 tengah malam bagi kehadiran penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Bagi kelancaran pergerakan penumpang yang menaiki tren ke stadium, tren tambahan akan disediakan sejurus tamat perlawanan bagi keselesaan dan kelancaran pergerakan penyokong untuk pulang ke destinasi masing – masing.
Kesemua stesen integrasi masih boleh diakses bagi penumpang dari Stesen Bukit Jalil yang ingin meneruskan perjalanan menggunakan tren laluan berbeza ke destinasi yang ingin ditujui.
Sebagai langkah keselamatan, penumpang diwajibkan untuk memakai pelitup muka sepanjang berada di kawasan stesen dan di dalam tren bagi mengekang penularan Covid-19.
Penumpang juga dinasihatkan agar menggunakan Kad Touch ‘n Go serta memastikan baki kad mencukupi sebelum tiba di stesen bagi memudahkan perjalanan pergi dan balik.
Sejumlah 13,892 ruang parkir tersedia di stesen-stesen LRT dan MRT terpilih bagi penumpang yang ingin menggunakan perkhidmatan tren untuk ke stadium. Penumpang boleh menikmati kadar bayaran tetap parkir (flat rate) sebanyak RM4 apabila menggunakan kad Touch ‘n Go yang sama ketika menaiki perkhidmatan tren.
Pihak Rapid Rail akan menempatkan kakitangan tambahan bagi melancarkan pergerakan penumpang keluar masuk di stesen serta kemudahan surau juga disediakan bagi penyokong muslim menunaikan solat.
Bagi memudahkan penumpang merancang perjalanan mereka, sila rujuk media sosial serta aplikasi PULSE Rapid KL bagi mendapatkan informasi terkini mengenai status perkhidmatan.