_

PERKHIDMATAN VAN RAPID KL ON-DEMAND DI PPS MASJID PUTRA HEIGHTS TAMAT HARI INI 

PETALING JAYA, 13 April 2025 – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) ingin memaklumkan bahawa perkhidmatan van Rapid KL On-Demand percuma yang disediakan buat mangsa insiden kebakaran paip gas di Putra Heights ditamatkan hari ini berikutan penutupan Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Dewan Masjid Putra Heights. 

Sejak mula beroperasi pada 3 April 2025, perkhidmatan ini telah memberi manfaat kepada lebih dari 1,100 orang yang terdiri dari mangsa, sukarelawan serta agensi kerajaan dengan menyediakan kemudahan pengangkutan dari PPS ke kawasan kediaman sekitar Putra Heights, Kampung Puchong Tengah dan Kampung Kuala Sungai Baru bagi mendapatkan barangan keperluan mahupun dokumen penting mereka serta membantu dalam kerja-kerja pembersihan rumah-rumah mangsa. 

Inisiatif di bawah program Prasarana Prihatin ini melibatkan penggunaan 10 buah van, dengan penglibatan seramai lebih kurang 50 orang petugas merangkumi kapten bas, pegawai pengawal trafik kanan, pasukan penguatkuasaan dan anggota polis bantuan yang telah ditugaskan bagi memastikan operasi berjalan lancar tanpa gangguan. 

Selain itu, Prasarana turut memperluaskan perkhidmatan ini dengan menyediakan perkhidmatan penghantaran anak-anak mangsa ke sekolah, menggunakan 5 buah van khas yang beroperasi setiap hari mulai Isnin sehingga Jumaat yang lalu ke 19 buah sekolah di sekitar kawasan Putra Heights, USJ, Seafield dan Shah Alam. Inisiatif ini telah mendapat sambutan positif daripada ibu bapa dan penjaga, sekaligus memastikan pendidikan anak-anak mangsa tidak terjejas sepanjang tempoh penempatan di PPS dan seramai 103 pelajar telah mendapat manfaatnya.

Secara keseluruhan, sambutan daripada mangsa amat menggalakkan dan mereka menzahirkan rasa syukur atas bantuan mobiliti yang disediakan. Pihak berkuasa tempatan turut memberikan maklum balas yang amat positif terhadap kecekapan serta komitmen Prasarana dalam membantu komuniti yang terkesan. 

Prasarana ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah bekerjasama menjayakan inisiatif ini, termasuk Kementerian Pengangkutan Malaysia, Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Petaling, pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pasukan Selangor Volunteer (SERVE) serta anggota keselamatan dan sukarelawan. 

Sebagai penyedia perkhidmatan pengangkutan awam negara, Prasarana komited untuk terus menabur bakti melalui inisiatif tanggungjawab korporat, sejajar dengan hasrat untuk memperkukuh peranan sebagai rakan mobiliti rakyat yang prihatin. 

Rate Our Services

Bus, Rail or Station Performance (Rapid KL, Rapid Penang, Rapid Kuantan)

Rate Our Retail Offerings

Our Retailers, Business Partner and Mobile App

Language:

Search