Search
Close this search box.

_

PERKHIDMATAN RAPID FERRY DIJANGKA PULIH DALAM MASA TIGA HARI

PULAU PINANG, 24 Ogos – Perkhidmatan Rapid Ferry yang tergendala pada 24 Ogos 2020 berikutan masalah teknikal pada enjin feri dijangka pulih dalam masa tiga hari.

Rapid Ferry dalam satu kenyataan menjelaskan masalah teknikal enjin bagi 2 buah feri iaitu Pulau Angsa dan Pulau Undan dikenalpasti jam 1.30 pagi 24 Ogos ketika penyelenggaraan dan baikpulih rutin dijalankan.

Notis tentang perkhidmatan feri yang tergendala ini disebarkan kepada umum jam 6.00 pagi hari yang sama. Perkhidmatan alternatif menggunakan bas secara percuma diaktifkan seawal 6.30 pagi dan seramai dua puluh orang pegawai tambahan di tempatkan di Pangkalan Raja Tun Uda dan Pangkalan Sultan Abdul Halim bagi memastikan pergerakan para penumpang berjalan lancar.

Sebanyak sepuluh buah bas, yang membawa penumpang dari Penang Sentral ke Terminal Weld Quay, diperuntukkan bagi tujuan ini dengan frekuensi selang sepuluh hingga dua puluh minit setiap satu.

"Feri Pulau Angsa telah berjaya dibaikpulih dan akan kembali beroperasi pada jam 6.00 pagi Selasa, 25 Ogos.

Oleh itu, para penumpang boleh kembali menaiki feri pagi esok dengan kekerapan setiap 40 minit. Perkhidmatan alternatif sebanyak lima buah bas akan dikekalkan bagi membantu melancarkan perjalanan terutama di waktu puncak.

Feri Pulau Undan pula memerlukan alat ganti khusus dan dijangka pulih pada hari Khamis, 27 Ogos. Pihak kami akan mencuba sedaya upaya untuk mempercepatkan proses ini, " kata kenyataan tersebut.

Dua buah lagi feri iaitu Pulau Talang dan Pulau Kapas telah diberhentikan perkidmatannya secara sementara kira-kira sebulan lepas kerana kedua-duanya memerlukan penyelenggaraan enjin dan baikpulih yang serius. Proses ini mungkin mengambil masa lebih kurang enam minggu kerana alat ganti khusus perlu ditempah dari Sweden dan Ireland.

Pihak Rapid Ferry memohon maaf kepada semua para penumpang atas segala kesulitan.

Jika ada sebarang pertanyaan, sila hubungi Rapid Ferry di laman Facebook Rapid Ferry.

Language:

Search