Search
Close this search box.

_

PERKHIDMATAN BAS PERANTARA MERAH JAMBU TAMBAH 15 LALUAN BARU

KUALA LUMPUR, 9 Februari – Inisiatif Rapid KL menggunakan Bas Perantara LRT berwarna merah jambu, yang diperkenalkan sebagai projek perintis September lepas untuk meningkatkan kemudahan untuk para penumpang, akan diperluaskan lagi kepada 15 laluan tambahan mulai 18 Februari ini ekoran sambutan menggalakkan daripada para pengguna.

Lima belas laluan baru itu adalah:

“Inisiatif ini adalah kesinambungan kepada projek perintis menggunakan bas berwarna merah jambu yang bermula pada 3 September tahun lalu; yang mana turut melibatkan penambahbaikan perkhidmatan Bas Perantara LRT di sepanjang 10 laluan, yang menghubungkan pengguna ke Stesen LRT Gombak, Taman Melati, Sri Rampai, Wangsa Maju, Setiawangsa dan Dato’ Keramat.
“Ia adalah sebahagian daripada usaha berterusan pihak kami untuk meningkatkan mutu perkhidmatan. Dengan penampilan baharu ini, kami mendapati bahawa para pelanggan dan orang ramai lebih senang membezakan di antara bas Perantara LRT dengan bas Rapid KL biasa,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Sdn Bhd, Encik Muhammad Yazurin Sallij dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Katanya, maklum balas positif daripada para pengguna dalam satu kaji selidik yang dilaksanakan oleh Rapid Bus memberi keyakinan kepada pihaknya untuk meneruskan program berkenaan; di mana 81 peratus daripada responden berkenaan menyatakan mutu perkhidmatan telah meningkat di dalam pelbagai aspek seperti lebih senang dicam, pematuhan jadual, kekerapan dan ketersediaan bas.

Antara maklum balas lain yang diterima daripada kaji selidik yang dijalankan bulan lepas dan disertai oleh lebih 1,000 responden itu adalah:

– 66 peratus daripada mereka mengetahui mengenai penampilan wajah baharu tersebut;

– 98 peratus daripada daripada 66 peratus berkenaan bersetuju bahawa imej dan warna merah jambu fushia yang digunakan itu lebih memudahkan pengecaman berbanding dengan wajah bas sebelum ini;

– 81 peratus daripada pengguna asal berpendapat bahawa mutu perkhidmatan telah meningkat daripada segi bertolak mengikut jadual, maklumat penjadualan, ketersediaan bas, mudah dicam dan kekerapan lebih baik;

– 14 peratus daripada responden adalah pengguna baru setelah mengenali perkhidmatan ini melalui penampilan wajah baharu bas;

– 34 peratus daripada pengguna baru memilih perkhidmatan Perantara LRT kerana ia menepati jadual.

Kata Muhammad Yazurin, 92 peratus daripada responden turut mengesyorkan perkhidmatan tersebut kepada orang ramai.

“Berpandukan kepada penemuan-penemuan itu, bagi perluasan perkhidmatan bas Perantara LRT berwajah baharu ini, Rapid Bus akan membahagikan pelaksanaannya kepada beberapa peringkat yang akan melibatkan penyusunan semula operasi bas, penjadualan dan kekerapan menurut permintaan,” kata Encik Muhammad Yazurin.

Maklumat lanjut mengenai perkhidmatan bas Perantara LRT berwajah baharu bagi 15 laluan itu akan dikongsikan kepada orang ramai melalui saluran media sosial Rapid KL dan aplikasi perancang perjalanan PULSE Prasarana, yang boleh didapati di Google Play Store dan Apple App Store untuk dimuat-turun.

Language:

Search