Search
Close this search box.

_

PERJALANAN LRT, MRT PERCUMA KE BUKIT JALIL ESOK SEMPENA HARI SUKAN NEGARA

KUALA LUMPUR, 12 Oktober – Rapid KL menawarkan perjalanan sehala percuma menaiki LRT dan MRT ke stesen LRT Bukit Jalil esok sebagai sokongan kepada Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Kebangsaan 2018, yang akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Terhad untuk lima jam antara jam 6 pagi sehingga 11 pagi, para pengguna boleh menikmati perkhidmatan percuma sama ada dengan penggunaan token ataupun kad perjalanan Touch ‘n Go dan kad MyRapid konsesi.

“Untuk keselesaan, para penumpang digalakkan menggunakan kad perjalanan Touch ‘N Go dan kad MyRapid konsesi di mana tiada caj dikenakan apabila anda sentuh keluar di stesen LRT Bukit Jalil. Sekiranya ingin menggunakan token, para pengguna boleh mendapat token berkenaan secara percuma di mana-mana kaunter LRT dan MRT,” menurut satu kenyataan media Rapid KL hari ini.

Menurut kenyataan berkenaan, basikal termasuk basikal berspesifikasi penuh juga akan dibenarkan untuk dibawa masuk ke dalam tren untuk ke Stadium Bukit Jalil pada hari esok sebagai sokongan kepada acara kayuhan basikal yang diadakan pada hari berkenaan.

Perkhidmatan LRT di stesen Bukit Jalil akan turut dilanjutkan sehingga jam 1 pagi (14 Oktober 2018) di mana para pengguna boleh keluar di mana-mana stesen LRT dan MRT walaupun pintu masuk stesen tersebut sudah ditutup.

Language:

Search