Search
Close this search box.

_

PENYOKONG DISARAN GUNA KHIDMAT LRT, MRT UNTUK FINAL PIALA AFF

KUALA LUMPUR, 9 Disember – Para peminat bola sepak yang berhasrat menyaksikan saingan pusingan pertama final Piala AFF Suzuki antara pasukan Malaysia dan Vietnam di Kompleks Sukan Nasional Bukit Jalil pada Selasa ini disaran menggunakan perkhidmatan LRT dan MRT untuk perjalanan mudah, selesa dan selamat. 

Saranan ini disuarakan oleh Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM), yang membuat permohonan rasmi kepada Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) untuk melanjutkan perkhidmatan LRT dan MRT bersempena perlawanan berkenaan, yang dijangka dihadiri oleh lebih 80,000 orang penonton khususnya penyokong Harimau Malaya. 

Sehingga semalam, sejumlah 40,000 tiket yang dijual secara atas talian untuk perlawanan berkenaan sudah habis terjual; sekali menguatkan jangkaan bahawa jumlah kehadiran penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil akan mengatasi kehadiran pada dua perlawanan lepas ketika menentang Myanmar di peringkat kumpulan dan Thailand pada saingan pusingan pertama peringkat separuh akhir, yang mencatat kehadiran 87,411 orang penonton.

“Rapid Rail, pengendali operasi perkhidmatan LRT dan MRT untuk Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), bersetuju dan menyokong penuh permohonan lanjutan tempoh operasi perkhidmatan sistem LRT Laluan Sri Petaling/ Ampang, LRT Laluan Kelana Jaya, dan MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang ke pukul 1 pagi pada 11 Disember 2018.

“Untuk itu, Stesen LRT Bukit Jalil akan dibuka sehingga 1 pagi untuk membenarkan para penumpang memasuki stesen dan meneruskan perjalanan mereka ke stesen-stesen LRT dan MRT yang lain. Walaupun ditutup, para penumpang boleh keluar di stesen-stesen berkenaan termasuk bertukar laluan di Stesen Masjid Jamek, Plaza Rakyat, Pasar Seni dan Maluri untuk bertukar laluan LRT Laluan Kelana Jaya dan MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang. 

Dengan keputusan ini, kami juga berharap FAM dan rakan-rakan media massa akan membantu menwar-warkan lanjutan tempoh operasi perkhidmatan LRT dan MRT tersebut supaya para penyokong bola sepak dapat pergi dan balik dari Bukit Jalil dengan mudah, teratur, dan selamat,” menurut satu kenyataan media Rapid Rail, sebuah anak syarikat Prasarana.

Untuk kemudahan dan keselesaan para peminat, mereka disarankan untuk menggunakan fasiiti ‘park n ride’ yang tersedia di stesen-stesen MRT dan LRT khususnya yang terdapat di sepanjang Laluan LRT Sri Petaling terutamanya di Putra Heights, Muhibbah, Awan Besar, Kinrara BK5, IOI Puchong Jaya, Pusat Bandar Puchong, Taman Perindustrian Puchong, dan Kompleks Parkir Bertingkat Bandar Tasik Selatan.

Malaysia layak ke perlawanan akhir selepas mengejutkan juara bertahan Thailand dengan kelebihan jaringan di tempat lawan selepas terikat 2-2 secara agregat selepas kedua-dua perlawanan, yang dijalankan secara timbal balik. Vietnam mempunyai laluan yang lebih mudah dengan mengatasi Filipina dalam satu lagi saingan separuh akhir.

Kedua-dua Malaysia dan Vietnam adalah dalam Kumpulan yang sama di mana saingan peringkat Kumpulan A menyaksikan Malaysia, yang kali akhir muncul juara pada 2010, tewas 0-2 kepada Vietnam. 

Language:

Search