Search
Close this search box.

_

PENUTUPAN SEMENTARA PLAZA STESEN LRT MASJID JAMEK

KUALA LUMPUR, 16 April – Rapid Rail Sdn Bhd, selaku pengendali perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya dan Laluan Ampang/ Sri Petaling, mengumumkan penutupan sementara kesemua pintu keluar atau masuk di Plaza Stesen LRT Masjid Jamek (bersebelahan OCBC Bank dan Bank Muamalat) mulai hari ini (16 April) hingga 28 April 2020.

Penutupan sementara ini adalah berikutan dari perluasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sekitar kawasan Masjid India, menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Rapid Rail hari ini.

Walau bagaimanapun, pintu keluar atau masuk Stesen LRT Masjid Jamek yang terletak bersebelahan dengan Masjid Jamek masih dibuka dan perkhidmatan LRT akan beroperasi mengikut waktu operasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengguna LRT Laluan Kelana Jaya atau Laluan Ampang/ Sri Petaling hanya boleh membuat penukaran tren sahaja di Plaza Stesen LRT Masjid Jamek. Manakala bagi pengguna yang ingin ke atau dari arah Sentul Timur, mereka dinasihatkan untuk mengguna terowong sambungan di stesen tersebut bagi membuat penukaran serta untuk keluar atau masuk melalui bahagian stesen (bersebelahan Masjid Jamek) yang tidak ditutup.

Pegawai Khidmat Pelanggan dan Polis Bantuan juga akan ditempatkan bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan.

Menurut kenyataan berkenaan, langkah itu diambil bagi membantu pihak berkuasa dalam mengurangkan pergerakan orang awam yang tidak sepatutnya ke sekitar kawasan terlibat.

Orang awam juga diingatkan agar sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menjaga jarak sosial yang telah ditetapkan serta merancang perjalanan mereka berikutan penutupan sementara ini.

Untuk maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan Rel Rapid KL, layari akaun media sosial Rapid KL atau menghubungi talian bantuan di 03-7885 2585.

Language:

Search