Search
Close this search box.

_

PENUMPANG PENGANGKUTAN AWAM DI BAWAH KENDALIAN PRASARANA MENCECAH SEJUTA SEHARI

Pencapaian Julung Kalinya Sejak Negara Beralih Ke Fasa Endemik

KUALA LUMPUR, 25 Mac 2023 – Buat pertama kalinya sejak negara memasuki fasa endemik, jumlah penumpang yang menggunakan perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mencecah sejuta penumpang sehari pada 21 Mac 2023, yang merupakan lonjakan daripada purata 846,000 orang penumpang sehari dari 1 Januari hingga 15 Mac.

Daripada jumlah itu, perkhidmatan Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) mencatatkan seramai 767,000 penumpang manakala perkhidmatan Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) telah mencatatkan 235,000 penumpang, angka tertinggi bagi perkhidmatan bas semenjak pandemik.

Sebelum Covid-19 mula melanda negara pada awal tahun 2020, purata penumpang yang menggunakan perkhidmatan Prasarana adalah kira-kira 1.2 juta orang sehari.

Angka sejuta penumpang sehari tersebut termasuk purata 100,000 penumpang yang menggunakan perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya sejak ia dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Mac lepas.

Para penumpang kini menikmati tambang percuma bagi pengguna perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya, termasuk bas perantara bagi MRT Laluan Putrajaya dari Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral, sehingga 31 Mac depan.

Untuk sebarang maklumat lanjut, sila hubungi kami di suggest@rapidkl.com.my atau hubungi kami di 03 – 7885 2585 pada hari Isnin hingga Jumaat, dari 7.00 pagi hingga 8.30 malam, manakala untuk tempoh Sabtu hingga Ahad dan Cuti Umum dari 7.00 pagi hingga 5.30 petang.

Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat terkini melalu saluran media sosial Rapid KL ataupun melalui aplikasi PULSE yang boleh dimuat turun secara percuma.

Language:

Search